DR MAHATHIR. FOTO Asyraf Hamzah
Mohd Husni Mohd Noor


“APABILA anda berada dalam kerajaan, anda tidak dibenarkan terima hadiah (rasuah),” kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Perdana Menteri memberi reaksi itu ketika mengulas penahanan setiausaha politik kepada seorang menteri oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), semalam, atas dakwaan menerima rasuah seutas jam tangan mewah.

Dr Mahathir berkata, jika individu berkenaan didapati melakukan kesalahan atau tidak, ia terpulang kepada siasatan yang akan dilakukan nanti.

“Kalau seseorang individu terima sesuatu (berunsur rasuah) sebelum mereka masuk dalam kerajaan, itu masalah mereka bukan masalah kami (kerajaan),” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyaksikan majlis menandatangani Perjanjian Induk (HoA) antara Ka Petra Sdn Bhd (KA Petra) dan Hutchison Ports di Putrajaya, hari ini.

DR MAHATHIR mendengar penjelasan Hub Pertukaran Kapal ke Kapal (STS Hub) di Putrajaya. FOTO Asyraf Hamzah

Mahkamah Majistret Putrajaya hari ini mengeluarkan perintah reman selama empat hari kepada Setiausaha Politik kepada Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani bagi membantu siasatan berhubung suapan berbentuk seutas jam tangan dianggarkan bernilai RM28,000.

Sumber dipetik berkata, siasatan awal mendapati lelaki berusia 47 tahun itu dipercayai menerima jam tangan mewah itu sebagai dorongan membolehkan sebuah syarikat pembangunan mendapatkan projek di bawah kelolaan sebuah kementerian.

Dalam perkembangan lain, Dr Mahathir berkata, kerajaan akan memutuskan perkembangan terbaru mengenai isu sisa buangan oleh Lynas Malaysia Sdn Bhd dalam mesyuarat Kabinet kelak.

“Mungkin akan berlaku perbezaan pendapat mengenai isu berkenaan dan ia normal. Namun, apa yang diputuskan oleh Kabinet kelak akan dianggap keputusan rasmi kerajaan,” katanya.

Ditanya mengenai adakah Malaysia akan mengikuti langkah Singapura untuk menurunkan harga bahan api susulan penurunan harga minyak global, Dr Mahathir menjelaskan, harga bahan api yang dipasarkan di negara ini sudah dijual pada harga subsidi.

“Malah, harga bahan api di Malaysia lebih murah berbanding negara-negara besar pengeluar minyak. Apa lagi yang anda mahu,” katanya.

Selain itu, ditanya mengenai spekulasi Program Penggajian dan Penempatan Semula PATI (Rehiring) akan diadakan semula pada April ini, Dr Mahathir berkata, beliau tidak boleh menjawab perkara itu berikutan ia masih dalam peringkat perbincangan.

Sementara itu, Dr Mahathir turut memaklumkan Kontrak Rakan Pelaksana (PDP) bagi pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo Sarawak akan diumumkan oleh Kementerian Kewangan kelak.

Sebelum ini, kerajaan memutuskan ntuk menilai pelaksanaan model projek lebuh raya berkenaan khususnya mencari mekanisme terbaik dari segi penjimatan kos dan keupayaan kewangan.

Malah, Menteri Kerja Raya Baru Bian dilaporkan berkata, semakan semula model projek lebuh raya itu tidak membabitkan pembatalan pembinaan.

Projek Lebuh Raya Pan Borneo masing-masing membabitkan kos keseluruhan RM16.48 bilion untuk Sabah dan RM12.86 bilion di Sabah.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 April 2019 @ 3:37 PM