NUR Syafanis (kiri) berdoa di pusara ibu bapa dan adiknya yang dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Chuping, Chuping, malam tadi. FOTO Dziyaul Afnan Abdul Rahman.
Dziyaul Afnan Abdul Rahman


TIGA beranak yang maut dalam kebakaran rumah di Pangkalan Nelayan Sungai Tepa, Langkawi, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Felda Chuping, Chuping, malam tadi.

Jenazah Mohd Nahar Suhami, 39, Nor Suhaila Ahmad, 41, dan Mohd Naufal Mohd Nahar, 6, selamat dikebumikan dalam satu liang lahad pada 10 malam.

Hujan renyai turut mengiringi upacara pengebumian yang dihadiri kira-kira 100 penduduk terdiri daripada saudara terdekat dan kenalan mangsa.

Terdahulu, jenazah tiga beranak itu tiba dari Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar dengan tiga van jenazah pada 8.30 malam.

Ketiga-tiga mereka disolatkan di Masjid Felda Chuping selepas solat Isyak.

Abang Nor Suhaila yang dikenali sebagai Khairul berkata, dia bersyukur semua urusan pengebumian selamat dan berjalan lancar.

Katanya, dia bersama beberapa ahli keluarga terdekat Nor Suhaila bersedia menjaga empat lagi anak saudara mereka yang kini yatim piatu.

“Alhamdulilah, kami bersyukur segalanya sudah selesai dan kami reda dengan takdir menimpa Shila (Nor Suhaila) sekeluarga.

“Malah kami menyerahkan segala keputusan kepada anak sulung Shila (Nur Syafanis Mohd Nahar) untuk menentukan siapa yang akan menjaga adik-adiknya,” katanya.

Dalam kebakaran 7 pagi kelmarin, mayat Mohd Nahar ditemui dalam keadaan rentung di bahagian ruang tamu manakala Nor Suhaila dan Mohd Naufal maut dipercayai lemas terhidu asap di dalam bilik air rumah berkenaan.

Berita berkaitan

'Geoffrey', 'Rusty' bantu siasatan [METROTV]

'Muka arwah adik seperti tahan sakit'

[UPDATE] Anak sahkan identiti ibu, adik bongsu

[UPDATE] Siasat sama ada wujud unsur khianat

Mayat isteri dalam keadaan bersujud

[UPDATE] Mangsa kebakaran disahkan tiga beranak [METROTV]

Lelaki rentung, rumah terbakar

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 April 2019 @ 12:20 AM