PEKERJA asing warga Nepal yang ditahan selepas bertindak agresif semasa Operasi Bersepadu (Ops Sapu dan Jaja) Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kedah sekitar pasar pagi dan premis perniagaan, semalam. FOTO Ihsan JIM
Noorazura Abdul Rahman
am@hmetro.com.my


PEKERJA asing warga Nepal bertindak agresif menolak dan menarik anggota Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) selepas dia gagal menunjukkan Kad Akuan Diri Pekerja Asing (i-Kad) dalam Operasi Bersepadu (Ops Sapu dan Jaja) sekitar pasar pagi dan premis perniagaan di Alor Setar, semalam.

Tindakan lelaki berusia 24 tahun yang cuba melarikan diri itu menyebabkan dua anggota berkenaan terpaksa bergelut sebelum berjaya menahannya.

Lelaki terbabit antara 10 pekerja asing yang ditahan dalam operasi selama empat jam itu.

Pengarah Imigresen Negeri Kedah, Zuhair Jamaludin berkata, dalam operasi bermula 10.30 pagi hingga 2.30 petang, pihaknya turut menahan tiga lelaki warga Bangladesh, lima lelaki warga Myanmar, dan seorang wanita warga Indonesia.

“Semua warga asing terbabit ditahan di sekitar pasar pagi dan kedai dan kebanyakan daripada mereka bekerja menjual sayur-sayuran.

“Cuma lelaki Nepal itu mengaku dia ke pasar untuk membeli barang dan i-Kad dipegang oleh majikannya sebelum bertindak agresif.

“Seramai 27 pekerja asing diperiksa, namun hanya 10 ditahan selepas mereka gagal menunjukkan dokumen perjalanan yang sah dan bekerja secara tidak sah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Zuhair berkata, kesemua pekerja asing berusia antara 13 hingga 38 tahun itu ditahan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) kerana tiada dokumen perjalanan sah dan Perkara 39(B) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 iaitu melanggar syarat pas lawatan dengan bekerja secara tidak sah.

Katanya, mereka semua ditahan di lokap imigresen, Bangunan Kementerian Dalam Negeri (KDN), Alor Setar sebelum dihantar ke Depot Imigresen, Belantik, Sik.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 April 2019 @ 9:40 AM