DATUK Seri Najib Razak. FOTO Hafiz Sohaimi
BERNAMA

PERBICARAAN kes tujuh pertuduhan RM42 juta milik SRC International melibatkan bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Mahkamah Tinggi akan bermula hari ini.

Perbicaraan kes berprofil tinggi akan dijalankan di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali pada 2 petang.

Sehingga 9 pagi ini, Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur beroperasi seperti biasa.

Najib, 66, menghadapi tiga pertuduhan pecah amanah, satu pertuduhan menyalahgunakan kedudukannya dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram milik SRC Internatonal Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Peguam Negara Tommy Thomas akan mengetuai pasukan pendakwaan yang dibarisi peguam kanan yang dilantik sebagai Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Datuk Sulaiman Abdullah dan Datuk V. Sithambaran.

Pasukan itu turut dibantu DPP Datuk Mohamad Hanafiah Zakaria, Manoj Kurup, Budiman Lufti Mohamed dan Muhammad Izzat Fauzan.

Manakala Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah mengetuai pasukan pembelaan, dibantu peguam Harvinderjit Singh, Muhammad Farhan Muhammad Shafee, Rahmat Hazlan dan Syahirah Hanapiah.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 April 2019 @ 10:58 AM