SERAMAI 12 remaja Orang Asli yang memeluk agama Islam di Kampung Lambok bergambar kenangan bersama rombongan Bank Simpanan Nasional (BSN) di Kampung Lambok. FOTO Ramli Ibrahim
Ramli Ibrahim


“HATI saya menjadi tenang selepas mengucap dua kalimah syahadah,” kata remaja perempuan Orang Asli, Norisia Juni, 14, yang memeluk Islam di Kampung Lambok, dekat Gua Musang, semalam.

Norisia antara 12 remaja Orang Asli suku kaum temiar masing-masing enam lelaki dan enam perempuan dengan kerelaan hati memeluk Islam.

Katanya, pada awalnya timbul perasaan takut dan malu, namun bertukar menjadi berani untuk melafazkan dua kalimah syahadah tanpa ada rasa berbelah bahagi.

“Alhamdulillah saya kini sudah merasa tenang dan perasaan ini lain dari yang lain,” katanya.

Program penghijrahan mereka itu diketuai Ketua pegawai perniagaan Bank Simpanan Nasional (BSN) Mujibburrahman Abd Rashid dan Pengerusi Yayasan Al-Khalifah, Dr Ab Razak Kechik.

Mereka memeluk Islam sempena Pelancaran Sumbangan Peralatan Rawatan Air Bersih kepada Komuniti Orang Asli kampung itu dan penyampaian sumbangan kepada asnaf.

Seorang lagi remaja lelaki Orang Asli, Long Dini Rozami, 16, berkata, dia terbuka hati memeluk Islam kerana sudah lama berkawan dengan orang Melayu beragama Islam.

Katanya, pelbagai pandangan berhubung agama Islam itu diajar rakan-rakannya dan terasa amat indah berada dalam agama ini berbanding tidak mempunyai agama selama ini.

Katanya, selepas mengucap dua kalimah syahadah, hatinya mula berubah dan terasa suci daripada segala perbuatan yang bertentangan ajaran agama Islam.

“Saya akan belajar mengaji al-Quran dan menunaikan solat lima waktu supaya hidup saya lebih berkat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 April 2019 @ 11:44 AM