Gambar hiasan
Hairulazim Mahmud
azim@hmetro.com.my


CADANGAN berkaitan isu tol termasuk menghapuskannya hanya diketahui selepas kajian oleh perunding bebas diserahkan kepada Kabinet Jun ini.

Timbalan Menteri Kerja Raya Mohd Anuar Tahir berkata, kajian berkenaan sedang giat dijalankan meliputi semua isu membabitkan konsesi tol.

“Kita sudah lantik satu perunding bebas beraudit untuk mengemukakan semua cadangan kepada kerajaan berhubung isu tol, penghapusan tol dan sebagainya. Ia akan diserahkan kepada Kabinet Jun ini,” katanya pada sesi Pertanyaan Jawab Lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Datuk Seri Hasan Arifin (BN-Rompin) yang mahu tahu sama ada kerajaan akan membuat suntikan kewangan kepada Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) untuk menampung perbelanjaan syarikat konsesi berkenaan.

Terdahulu menjawab soalan asal Hasan yang meminta kerajaan menyatakan kos pembinaan PLUS selain jumlah sudah dibayar dan baki hutang sudah selesai dibayar, Mohd Anuar berkata, kos pembinaan lebuh raya itu ialah RM5.9 bilion.

Katanya, apabila PLUS dinyahsenarai dari Bursa Malaysia pada 2011, syarikat itu terpaksa menerbitkan bon sukuk sebanyak RM30.6 bilion untuk membeli semula semua saham awam.

“Sebahagian besar kutipan tol disalurkan untuk pinjaman sukuk, menampung kos operasi dan penyelenggaraan lebuh raya termasuk penambahbaikan untuk tingkatkan tahap keselamatan bagi menampung trafik yang tinggi,” katanya.

Beliau berkata, walaupun PLUS mempunyai peningkatan tanggungan namun syarikat konsesi itu tidak pernah gagal membayar pinjaman serta menunaikan segala tanggungjawab yang ditetapkan perjanjian konsesi.

“Di bawah penstrukturan semula pada 2011, semua lebuh raya konsesi dilanjutkan tempoh tamat konsesi dari 2018 kepada 2038.

“Penstrukturan semula itu membabitkan kutipan kadar tol lebih rendah serta kerja menaik taraf lebuh raya PLUS dengan lima simpang baru dan pelebaran dilaksanakan serta pemulangan kepada pemegang saham,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 April 2019 @ 11:55 AM