Iskandar Shah Mohamed


AHLI perniagaan bergelar Datuk Seri dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam atas tiga pertuduhan menipu seorang individu membabitkan wang berjumlah RM19 juta berkaitan siasatan projek meja terowong dasar laut di Pulau Pinang, dua tahun lalu.

Tertuduh, M G Gnanaraja, 38, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas semua pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Rozilah Salleh.

Mengikut semua pertuduhan, dia didakwa memperdayakan pengarah urusan sebuah syarikat membabitkan wang keseluruhan berjumlah RM19 juta bagi menutup siasatan yang dilakukan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke atas individu itu mengikut Akta Pencegahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Wang Haram 2001.

Semua wang itu didakwa diterima secara berperingkat di sebuah hotel di Damansara dan CIMB Bank Berhad cawangan KLCC pada Julai dan Ogos 2017.


TERTUDUH dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam atas tuduhan menipu. FOTO Roslin Mat Tahir

Justeru, Gnanaraja didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun, sebatan dan denda jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Datuk Umar Saifudin Jaafar yang mengendalikan kes menawarkan kos ikat jamin RM100,000 bagi semua pertuduhan dengan seorang penjamin dan pasport antarabangsa diserahkan kepada mahkamah.

Peguam bela Datuk Geethan Ram Vincent yang mewakili tertuduh bersetuju dan tidak membantah tawaran itu.

Rozilah kemudian menetapkan jaminan RM100,000 dan pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah.

Sebutan semula kes ditetapkan 6 Mei depan.

Semalam, media melaporkan lelaki itu ditahan pada Februari tahun lalu selepas dipercayai menerima wang RM19 juta daripada syarikat pembinaan projek berkenaan kerana didakwa mampu menyelesaikan siasatan dijalankan SPRM.

Difahamkan, syarikat itu membayar wang itu secara berperingkat dengan semua pembayaran dilakukan di sekitar Lembah Klang.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 April 2019 @ 1:29 PM