Ibrahim membetulkan jaringnya yang berpintal. FOTO Hassan Omar.


KEBANYAKAN nelayan pinggir pantai di Melaka Barat, di Alor Gajah, mengeluh apabila hasil tangkapan berkurangan berikutan peralihan angin monsun Timur Laut ke Barat Daya sejak hujung bulan lalu.

Hidup mereka bertambah sukar apabila hasil jualan tangkapan tidak mampu menampung kos bahan api enjin sangkut manakala tenaga dikeluarkan tidak berbaloi dengan ikan yang didaratkan.

Ibrahim Md Isa, 73, berkata, dia keluar menjaring ikan pada 7 pagi dan kembali ke jeti lima jam kemudian.

Dia terpaksa berpuas hati dengan hasil tangkapan dua ekor ikan senangin dan empat kilogram (kg) ikan selangat.

Lebih malang, jaring digunakan berpintal akibat arus dasar laut deras.

“Sebagai nelayan sejati saya tidak pernah menyalahkan takdir kerana rezeki di laut adalah anugerah.

“Hasil tangkapan merosot kerana ketika ini musim peralihan angin,” katanya ketika ditemui di pangkalan nelayan Kampung Balik Batu, Tanjung Bidara, hari ini.

Ibrahim berkata, hasil tangkapannya tidak perlu dijaja ke tempat lain, sebaliknya menjadi rebutan orang ramai yang lazimnya menunggu kepulangan nelayan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 April 2019 @ 1:40 PM