Foto Hiasan
Foto Hiasan
Fardy Bungga


ANAK dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kota Kinabalu, hari ini, atas pertuduhan melakukan ugutan bunuh terhadap bapa kandungnya.

Tertuduh, Nikizwan Sajani, 30, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Afiq Agoes.

Tertuduh didakwa dengan niat mendatangkan ketakutan dengan melakukan ugutan jenayah mahu membunuh bapa kandungnya yang berusia 57 tahun itu.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan di rumah keluarga itu di Kampung Likas Lama, Kota Kinabalu, pada 8.30 malam, 29 Mac lalu.

Bagi pertuduhan itu, Nikizwan didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Majistret membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM2,000 dengan dua penjamin tempatan sebelum menetapkan 25 April depan untuk pengurusan kes berkenaan.

Selain itu, Afiq turut mengarahkan tertuduh supaya tidak tinggal serumah dengan mangsa sepanjang pertuduhan kes masih berjalan di mahkamah.

Kes pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa Lim Swee Beng manakala tertuduh diwakili peguam Michelle Usman.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 April 2019 @ 1:41 PM