Ahli keluarga pesara tentera di sisi mayat mangsa. FOTO Amirul Aiman Hamsuddin.
Amirul Aiman Hamsuddin


SEORANG pesara tentera meninggal dunia dipercayai akibat serangan jantung selepas berjogging di Stadium Mini Sabak Bernam, Sabak Bernam, hari ini.

Dalam kejadian 8.45 pagi, mangsa, K Siva Sundar, 47, dikatakan rebah ketika berhenti untuk berehat.

Saksi kejadian yang enggan dikenali berkata, terdahulu dia melihat mangsa mengelilingi trek sebanyak lima kali sebelum menuju ke tempat duduk penonton untuk berehat.

“Ketika menuju ke motosikal untuk pulang ke rumah, saya mendapati mangsa dalam keadaan terbaring.

“Saya kemudian kemudian berlari ke arah mangsa dan ketika itu dia dipercayai sudah meninggal dunia,” katanya.

Dia kemudian bertindak menghubungi talian kecemasan dan keluarga mangsa.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Nor Azmi Isa mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian berkenaan.

“Mayat mendiang dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Jemaah (HTAJ) Sabak Bernam untuk bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR),” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 April 2019 @ 2:45 PM