TERTUDUH di Mahkamah Sesyen Klang. FOTO Saddam Yusoff
Siraj Mohd Zaini


PERBUATAN keji pemandu lori mencabul kanak-kanak perempuan yang diasuh isterinya mengundang padah apabila dia dihukum penjara 14 tahun dan lima sebatan oleh Mahkamah Sesyen Klang, hari ini.

Hakim Datin M Kunasundary menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh yang berusia 42 tahun didapati bersalah atas pertuduhan mencabul mangsa berusia empat tahun sekitar Februari hingga April tahun lalu.

Mengikut pertuduhan, bapa kepada lima anak itu didakwa melakukan amang seksual ke atas mangsa di rumah di Klang antara 10 pagi hingga 7 malam.

Berikutan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Hafizah Zahidah Abdullah memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berat kepada tertuduh kerana kesalahan yang dilakukannya serius dan menyebabkan trauma kepada mangsa.

“Pelaku seperti Orang Kena Tuduh ini boleh dikategorikan sebagai pedofil dan seharusnya dijauhi daripada kanak-kanak.

“Ibu bapa mangsa menatang mangsa seperti minyak yang penuh sejak dilahirkan terpaksa melalui kekecewaan, kesedihan dan trauma sepanjang hayat kerana memikirkan apa yang terjadi kepada anak perempuan mereka.

“Sehingga kini, kes jenayah seksual terhadap kanak-kanak semakin meningkat dan sesuatu harus dilakukan demi membanteras isu ini,” katanya.

Sementara itu, peguam tertuduh, Gerard Lazarus memohon hukuman ditangguhkan bagi membolehkan rayuan difailkan atas alasan anak guamnya mempunyai lima anak yang masih kecil, isteri tidak bekerja serta sedang mengandung anak keenam.

Beliau turut menyatakan tertuduh baru sahaja membeli rumah yang masih mempunyai hutang bank.

Mahkamah kemudian membenarkan hukuman ditangguhkan dengan syarat tambahan termasuk notis rayuan difailkan semalam dan kos jaminan dinaikkan ke RM15,000 dengan seorang penjamin.

Tertuduh turut tidak dibenarkan mengganggu mangsa dan keluarganya selain perlu melaporkan diri ke balai polis berhampiran setiap bulan sehingga rayuan selesai.

Sepanjang tempoh perbicaraan bermula 13 Ogos tahun lalu, seramai enam saksi pendakwaan dan empat saksi pembelaan dipanggil ke mahkamah.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 April 2019 @ 3:16 PM