Pegawai Penyiasat Kanan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya, Asisten Superintendan Lew Keng Joe. FOTO Roslin Mat Tahir.
Syah Rul Aswari Abdullah dan Sarah Zulkifli


ANGGOTA bomba dilihat di antara belakang jentera ‘Fire Rescue Tender’ (FRT) dan van EMRS (Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan) pada insiden rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman, Subang Jaya, pada 27 November tahun lalu, disahkan bukan Muhammad Adib Mohd Kassim.

Pegawai Penyiasat Kanan Polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya Asisten Superintendan Lew Keng Joe sebaliknya berkata, individu berkenaan adalah anggota FRT, Mohd Hazim Mohd Rahimi.

Beliau berkata, demikian selepas video terbaharu berhubung kejadian berdurasi 22 saat ditayangkan kali pertama di Mahkamah Koroner, Shah Alam, hari ini.

Saksi inkues ke-28 itu berkata, demikian ketika menjawab soalan Pegawai Pengendali Faten Hadni Khairuddin pada hari prosiding hari ke-22 inkues kematian Muhammad Adib.

FATEN: Terdapat dakwaan bahawa itu (anggota bomba yang berada di belakang FRT) adalah Muhammad Adib. Adakah dakwaan ini betul?

LEW: Hasil siasatan, fakta itu tidak betul... sebab dari rakaman percakapan, orang yang berada di antara FRT dan van EMRS adalah Mohd Hazim.

FATEN: Mangsa pada masa itu?

LEW: Dalam rakaman percakapan, semua anggota bomba (terbabit) mengatakan bahawa Adib adalah anggota van EMRS dan Adib tak pakai “fire jacket” dan topi keledar.

Terdahulu, video itu diperoleh daripada YouTube dan memaparkan detik-detik FRT mengundur dan melanggar van EMRS daripada pandangan sisi kanan kenderaan berkenaan.

Lew selepas dipertontonkan video berkenaan kemudian berkata, saat ke-10 atau ke-11 menunjukkan Mohd Hazim adalah individu yang berada di belakang FRT.

“Dia turun dari kanan (FRT) dan ke belakang jentera sebelah kiri untuk ambil hose reel,” katanya.

Bagaimanapun menjawab soalan lain Faten Hadni, saksi sama berkata, pihaknya belum dapat mengesan sumber individu yang memuat naik video berkenaan.

Pada prosiding hari ini, tujuh video berkaitan kejadian berkenaan ditayangkan termasuk rakaman video Muhammad Adib diusung ke sebuah kenderaan.

Dalam sesi tayangan itu, enam saksi yang sudah memberi keterangan turut sama menonton semua video terbabit.

Mereka ialah lima anggota bomba, pemandu FRT, Md Elliza Mohd Noor (saksi kedua); Pegawai Perubatan, Ahmad Shahril Othman (saksi ketiga); Ketua Operasi Pegawai Bomba Kanan 2, Badrul Hisyam [email protected] (saksi kelima); Mohd Hazim (saksi keenam); Mohd Sharol Anuar Kamaruddin ( saksi ketujuh)

serta orang awam, R Narresh (saksi kesembilan).

Sementara itu, ketika menjawab soalan peguam Syazlin Mansor yang mewakili Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Lew mengakui dia tidak tahu bahawa ayah Muhammad Adib pada mulanya tidak bersetuju bedah siasat dijalankan terhadap anaknya.

Selain itu, beliau juga mengaku tidak tahu bahawa ayah Muhammad Adib hanya bersetuju untuk bedah siasat mangsa hanya selepas dipujuk oleh beberapa pihak termasuk Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin serta pegawai kanan bomba.

Muhammad Adib, 24, yang juga anggota van EMRS Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya, parah dalam rusuhan ketika kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November tahun lalu.

Selepas 21 hari bertarung nyawa, Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada 17 Disember lalu di Institut Jantung Negara (IJN).

Prosiding di hadapan Koroner Rofiah Mohamad bersambung Rabu.

  • Lagi berita berkaitan Inkues Adib
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 April 2019 @ 4:24 PM