Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor


SINDIKET pengedaran dadah yang berselindung di sebalik perniagaan tekstil ditumpaskan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) apabila 338 kilogram ketamin bernilai RM20 juta dirampas di Kuala Lumpur dan Selangor pada 25 Mac lalu.

Timbalan Ketua Pengarah (Penguatkuasaan dan Pematuhan) JKDM, Datuk Azimah Abdul Hamid berkata, serbuan dilakukan anggota Pasukan Tempur Operasi Medan Kastam (COBRA) dan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman sebaik menerima maklumat awam.

Katanya, dalam serbuan pertama di pusat beli belah di Kuala Lumpur jam 4.30 petang, pihaknya menyerbu premis yang dijadikan stor penyimpanan dadah.

“Dua lelaki Pakistan ditahan dan pemeriksaan menemui 70 kotak mengandungi gulungan kain yang didalamnya disorokkan 304 paket plastik mengandungi ketamin seberat 229 kilogram,” katanya pada sidang media di Pejabat Cawangan Narkotik JKDM, Kampung Jijan, Negeri Sembilan, hari ini.

Turut bersama Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman Datuk Kamarulzaman Mamat.

Azimah berkata, soal siasat ke atas dua lelaki itu membawa kepada serbuan di sebuah gudang penyimpanan di Pelabuhan Klang, pada hari sama.

“Hasil pemeriksaan menemui 27 kotak di dalamnya mengandungi 146 paket ketamin seberat 109kg,” katanya.

Beliau berkata, polis menahan dua lelaki tempatan dan tiga lelaki warga asing yang disyaki ahli rangkaian sindiket terbabit bagi membantu siasatan.

“Semua tujuh suspek berusia 35 hingga 54 tahun itu direman 14 hari sehingga 8 April ini mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Mereka akan didakwa di Mahkamah Kuala Lumpur minggu depan,” katanya.

Beliau berkata, siasatan mendapati semua dadah berkenaan dibawa dari Pelabuhan Karachi, Pakistan dan tiba di Pelabuhan Klang disyaki untuk pasaran tempatan yang boleh digunakan oleh 1.7 juta penagih.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 April 2019 @ 5:18 PM
Azimah dan Kamarulzaman menunjukkan sebahagian dadah ketamine seberat 338 kilogram disorok dalam gulungan kain. FOTO Iqmal Haqim Rosman