Yusmizal Dolah Aling


SEBANYAK 31 organisasi syarikat korporat, agensi kerajaan dan pertubuhan media menyumbang RM411,000 bagi menjayakan penganjuran Malam Wartawan Malaysia (MWM) 2019 untuk merebut Hadiah Kewartawanan Malaysia MPI PETRONAS 2018 (HKM 2018).

Ketua Pegawai Eksekutif Institut Akhbar Malaysia (MPI), Datuk Dr Chamil Wariya berkata, jumlah itu meningkat berbanding sumbangan diterima pada MWM 2017.

Katanya, sebanyak 267 penyertaan diterima MPI untuk dipertandingkan dalam 20 kategori HKM 2018, turun berbanding 349 pada tahun sebelumnya.

“MPI turut menerima tiga pencalonan bagi kategori Anugerah Khas Juri manakala satu pencalonan bagi Tokoh Wartawan Negara dan Tokoh Media.

“Penilaian karya kewartawanan yang menyertai kini memasuki pusingan kedua dan senarai lima calon teratas akan dipilih sebagai pemenang.

“Penyertaan tertinggi diterima di bawah Kewartawanan Foto cemerlang, dengan 42 penyertaan diikuti 25 penyertaan masing-masing bagi kategori Foto Esei Cemerlang dan Berita Video Terbaik,” katanya pada sidang media Majlis Penyerahan Sumbangan sempena MWM 2018 di Kuala Lumpur, hari ini.

Turut hadir, Ahli Lembaga Pemegang Amanah MPI Datuk Mustapa Omar, Datuk Yong Soo Heong dan Dr Mohd Safar Hasim.

Antara penyumbang utama MWM adalah Tenaga Nasional Berhad, Celcom Axiata Berhad, DRB Hicom Berhad, EXIM Bank (M) Berhad dan Sarawak Energy Berhad.

Majlis penyampaian anugerah MWM akan diadakan 26 April ini di Hotel Berjaya Times Square Kuala Lumpur.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 April 2019 @ 5:33 PM
CHAMIL (tengah) pada majlis meraikan penyumbang. FOTO Rosdan Wahid