IKAN dipercayai paus terdampar di pantai Kuala Sala. FOTO/ Ihsan Pembaca
Zuliaty Zulkiffli


BANGKAI dipercayai ikan paus terdampar di tepi pantai Kuala Sala, Yan, hari ini.

Ikan paus itu ditemui pencari ketam nipah, Mohd Nabil Abdul Hamid, 19, sebelum memaklumkan kejadian itu kepada bapa saudaranya, Mohd Abdul Hadi Ishak, 35.

Menurut Mohd Abdul Hadi, Mohd Nabil menemui ikan itu sejak semalam sebelum memaklumkan perkara itu kepadanya malam tadi.

Namun dia hanya melihat lebih dekat ikan paus berkenaan pada jam 2 petang dan mendapati ikan itu sudah terburai perutnya.

“Ikan itu nampak seperti ikan lumba-lumba tetapi dari segi saiznya agak besar, ia mungkin ikan paus.

“Ini kali pertama ikan sebesar ini ditemui di kawasan pantai ini. Ia mungkin tersesat malah ramai penduduk di sini tak tahu penemuan bangkai ikan ini,” katanya ketika dihubungi Harian Metro hari ini.

Sementara itu, sumber Jabatan Perikanan Kedah ketika dihubungi memaklumkan, ada kemungkinan bangkai itu ikan paus namun siasatan akan dijalankan bagi menentukan spesiesnya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 April 2019 @ 5:39 PM