Mohd Azam Shah Yaacob


EDITOR Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown menzahirkan kelegaan dan gembira apabila kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak akhirnya dibicara hari ini.

Clare berkata, kes penyelewengan membabitkan Najib itu sudah didedahkan sekian lama dan perbicaraan yang berlangsung hari ini menjadi penanda aras terhadap sistem perundangan di Malaysia.

“Saya gembira apabila hari ini kes penyelewengan dana SRC International yang didedahkan sejak sekian lama akhirnya dibicarakan di mahkamah hari ini.

“Ia bukanlah mengenai saya, sebaliknya kes ini yang mendapat perhatian dan liputan media serata dunia, menjadi penanda aras terhadap sistem perundangan serta keadilan di negara ini,” katanya ketika ditemui di pekarangan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur.

Katanya, beliau selaku wakil media sudah memainkan peranan dalam mendedahkan penyelewengan dana SRC International dan pembabitan Najib, justeru kini peranan sistem perundangan untuk menegakkan keadilan secara adil.

“Ia sesuatu yang baik apabila perbicaraan kes ini akhirnya berjalan berikutan ramai juga pihak yang terkesan dalam kes ini,” katanya.

Terdahulu, beberapa penyokong Najib dilihat bersorak apabila melihat Clare melalui pintu hadapan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur.

Mereka bersorak dengan menyebut; “Go to he**... and go back to your country.”

Clare disifatkan mereka sebagai penyibuk dalam perbicaraan tujuh kes penyelewengan dana SRC International dihadapi Najib.

Bagaimanapun, editor Sarawak Report yang berjalan sambil diiringi beberapa individu dilihat tidak melayan provokasi berkenaan.

Sebelum ini, pada 4 Julai tahun lalu, Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan didakwa atas tiga pertuduhan pecah amanah dan satu pertuduhan salah guna kuasa membabitkan dana SRC International berjumlah RM42 juta.

Pada 8 Ogos tahun sama, Najib, 66, didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tiga tuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama daripada dana sama.

Perbicaraan kes itu pada mulanya dijadual bermula pada 12 Februari sehingga 29 Mac lalu tetapi ditangguhkan sebanyak dua kali selepas Mahkamah Rayuan pada 11 Februari dan 21 Mac lalu membenarkan permohonan penangguhan dibuat oleh pasukan peguam dilantik Najib.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 April 2019 @ 6:38 PM
Clare meninggalkan mahkamah selepas hadir perbicaraan Najib membabitkan dana SRC International di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. FOTO Aswadi Alias