NAJIB meninggalkan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur selepas perbicaraan atas tiga tuduhan pecah amanah, satu tuduhan salah guna kedudukan dan tiga tuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali.
Murni Wan Omar; Nur Lela Zulkipli dan Mahaizura Abd Malik


PENOLONG Pendaftar Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bahawa 1 juta syer dalam dana SRC International Sdn Bhd dipegang Menteri Kewangan yang juga bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Muhamad Akmaludin Abdullah, 35, berkata demikian ketika memberi keterangan sebagai saksi pertama dalam perbicaraan tujuh pertuduhan dikenakan terhadap Najib berhubung dana SRC International berjumlah RM42 juta.

Menurutnya, semakan terhadap pemegang syer mendapati maklumat gadaian menunjukkan terdapat tiga gadaian dengan jumlah cagaran tidak dinyatakan.

“Syarikat itu berdaftar dengan SSM pada 7 Januari 2011 dan mempunyai modal terbit sebanyak RM1 juta.

“Syarikat persendirian itu turut melantik beberapa individu termasuk Nik Faisal Ariff Kamil pada awal penubuhannya sebagai pengarah.

“Bagaimanapun, Datuk Che [email protected] Che Omar dan Datuk Suboh Md Yassin dilantik sebagai pengarah baru pada 22 Ogos 2011,” katanya ketika membaca kenyataan saksi.

Muhamad Akmaluddin yang bertugas di Unit Pengurusan Akaun Pengguna Bahagian Pemasaran dan Pembangunan SSM turut memaklumkan pada 7 Januari 2011, SRC mempunyai dua unit saham masing-masing dipegang oleh Nik Faisal dan Vincent Beng Huat Koh dengan setiap unit saham itu bernilai 100 sen.

Peguam Najib, Harvinderjit Singh meminta saksi berkenaan supaya membuat carian berhubung Yayasan Rakyat 1Malaysia (YR1M) bagi mendapatkan butir semua pengarah pernah menjawat sebagai pengarah di syarikat itu dan Muhamad Akmalauddin menjawab: “Boleh.”

Bagaimanapun, Harvinderjit memohon kepada mahkamah untuk menyambung soal balas terhadap saksi itu pada tarikh akan datang.

Najib, 66, didakwa atas tiga tuduhan pecah amanah, satu tuduhan salah guna kedudukan dan tiga tuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali bersambung pada 15 April.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 April 2019 @ 8:29 PM