Mohd Khairul (kanan) menerangkan kepada Yahya (dua kiri) mengenai operasi pencarian Acap di Kampung Pintu Padang. FOTO Balqis Jazimah Zahari
Balqis Jazimah Zahari
cnews@nstp.com.my


KELUARGA Mohammad Ashraf Hassan, 29, atau Acap menafikan ada membuat tawaran ganjaran wang jika peserta Gopeng Urban Trail 2019 yang hilang sejak 23 Mac lalu ditemui.

Abangnya, Mohd Zahiruddin, 35, berkata, mereka sekeluarga kesal apabila ada pihak cuba mengambil kesempatan dan menyebarkan berita tidak benar dalam usaha mencari Acap.

“Tawaran itu sengaja diada-adakan pihak tertentu yang cuba mengambil kesempatan termasuk difahamkan mengutip derma kilat kononnya untuk sukarelawan dan usaha mencari adik saya.

“Jangan layan khabar angin ini kerana fokus kami sekarang adalah mencari Acap,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Dalam perkembangan sama, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak, Senior Asisten Komisioner Yahya Abdul Rahman berkata, orang ramai dinasihatkan tidak mudah terpedaya dengan sebarang tawaran dan ganjaran jika menjumpai mangsa.

“Ada pihak tertentu cuba menangguk di air keruh atas kejadian ini.

“Kalau ada keraguan mengenai ganjaran rujuk kepada Ketua Polis Daerah,” katanya ketika ditemui ketika melawat pos kawalan bomba di Kampung Pintu Padang, Gopeng hari ini.

Sementara itu, operasi mencari dan menyelamat (SAR) Mohammad Ashraf kini ditumpukan di dua lokasi terbaru membabitkan sekitar Gua Tempurung dan Hutan Simpan Bukit Kinta.

Ketua Zon 1 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Mohd Khairul Jamil berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) diperluaskan selepas pencarian di keseluruhan lokasi litar larian selesai dilakukan dan tidak menemui sebarang petunjuk.

“Ini kali pertama kita melakukan operasi pencarian di kawasan rekreasi dan laluan balak.

“Fokus utama kini adalah di sekitar Gua Tempurung dan di laluan balak yang berada berhampiran trek larian asal 100 km bersebelahan trek 25 km,” katanya.

Menurutnya, pihaknya sudah masuk ke dalam Gua Tempurung bagi melakukan tinjauan awal serta pemetaan dan akan bertemu dengan pengurusan Gua Tempurung bagi mendapatkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) gua berkenaan.

Mohd Khairul berkata, pencarian di laluan balak di Hutan Bukit Kinta pula membabitkan kawasan enam km dengan menggunakan pacuan empat roda dan berjalan kaki.

Berita berkaitan

[UPDATE] 'Acap...mak kat sini...balik nak' [METROTV]

Tiada petunjuk, SAR Acap dihentikan

Rakan yakin Acap selamat

Peserta hilang ketika larian

'Baliklah Acap, mak masak asam pedas...'

Masih tiada petunjuk

Masih tiada petunjuk pencarian Acap

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 April 2019 @ 8:37 PM