ANTARA GRO yang ditahan dalam serbuan. FOTO Ihsan Imigresen
Muhammad Apendy Issahak


SERAMAI 30 warga Vietnam yang dipercayai bekerja sebagai wanita pelayan pelanggan (GRO) di kelab malam sekitar Station 18 dan Jalan Mustapha Al Bakri di Ipoh, ditahan dalam operasi bersepadu, semalam.

Operasi bermula 9 malam dan berakhir 12 tengah malam itu dijalankan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Perak dengan kerjasama Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Perak.

Pengarah Imigresen Negeri Perak, Kamalludin Ismail berkata, operasi berkenaan membabitkan 18 pegawai dari Bahagian Penguatkuasa JIM Perak dan 25 pegawai JKDM Perak.

“Seramai 64 orang diperiksa daripada pelbagai negara dan daripada jumlah itu, 31 ditahan membabitkan 30 wanita warga Vietnam, serta seorang majikan warga tempatan dan kesemua mereka berusia dalam lingkungan 17 hingga 47 tahun.

“Berdasarkan siasatan awal mendapati wanita itu disyaki bekerja sebagai pelayan di kelab malam terbabit dan ketika serbuan dibuat, mereka sedang asyik melayan pelanggan tempatan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, ketika serbuan dilakukan sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa, ada yang cuba melarikan diri dan bersembunyi dalam kabinet menyimpan minuman keras dan di bilik air, namun berjaya diberkas.

“Pusat hiburan ini yang beroperasi bermula 8 malam hingga ke lewat malam dipercayai turut menawarkan khidmat seks dengan bayaran antara RM150 hingga RM250 untuk sejam.

“Turut dijumpai kondom yang bersepah di dalam bilik dan bakul sampah di pusat hiburan berkenaan,” katanya.

Kamalludin berkata, kesemua yang ditahan kini disiasat membabitkan pelbagai kesalahan termasuk tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah, melanggar syarat pas lawatan dan melindungi warga asing tanpa pas sah.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 April 2019 @ 8:54 PM