PINTU Pusat Kebajikan Kampung Baru Pokok Sena musnah selepas angin kencang melanda sekitar Pokok Sena. FOTO/ Zuliaty Zulkifli
PINTU Pusat Kebajikan Kampung Baru Pokok Sena musnah selepas angin kencang melanda sekitar Pokok Sena. FOTO/ Zuliaty Zulkifli
Zuliaty Zulkiffli


HUJAN lebat disertai angin kencang yang melanda kawasan Pokok Sena, Alor Setar petang tadi mengakibatkan bumbung 22 rumah penduduk di empat kampung dan dua sekolah diterbangkan angin.

Dalam kejadian jam 4 petang itu, kebanyakan penduduk berada di dalam rumah berikutan hujan lebat sebelum dikejutkan dengan kehadiran angin kencang.

Antara kampung terbabit adalah Kampung Baru, Sungai Durian, Kampung Bendang Perang dan Kampung Keranji, selain bumbung Sekolah Kebangsaan Wan Abdul Samad dan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina.

Mangsa, Ng Chang Huat, 69, berkata, kejadian berlaku selepas hujan lebat berhenti sebelum angin kencang di kawasan itu.

Angin kencang itu turut menjejaskan Pusat Kebajikan Penduduk Kampung Baru Pokok Sena yang rosak teruk hingga menyebabkan pintu utama pusat itu tercabut.

“Ketika itu saya tak ada di pusat ini kerana ada urusan di luar dan terkejut apabila dimaklumkan pintu pusat kebajikan itu rosak.

“Saya terus bergegas pulang melihat apa yang berlaku dan dapati pintu serta bumbung rosak akibat kejadian itu,” katanya yang juga pengerusi pusat itu ketika ditemui.

Sementara itu, Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pokok Sena, Pegawai Bomba Kanan II Jamal Din berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu jam 4.19 petang dan tiba di lokasi jam 4.22 petang.

Setibanya di lokasi, terdapat empat pokok tumbang di sekitar Kampung Baru.

“Satu daripadanya menghempap bahagian bumbung rumah namun tiada kemalangan jiwa serta kecederaan dilaporkan dalam kejadian itu.

“Anggota kami memotong pokok yang tumbang serta mengalihkannya dari rumah penduduk,” katanya.

Jamal berkata, operasi disertai tujuh anggota bersama sebuah jentera dan sebuah Jentera Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMRS) dari BBP Pokok Sena.

Sementara itu, Pegawai Khas kepada Ahli Parlimen Pokok Sena, Zulkifli Ismail berkata, pihaknya turun padang untuk melihat keadaan kawasan yang dilanda ribut dan angin kencang selain mengambil maklumat terperinci sebelum bantuan susulan dilakukan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 April 2019 @ 9:16 PM