MOTOSIKAL mangsa yang terbabit dalam kemalangan dengan jengkaut berhampiran Cheras Sentral di Jalan Cheras menghala ke Kajang, Kuala Lumpur, hari ini. FOTO ihsan pembaca.
Nurul Hidayah Bahaudin


LELAKI maut selepas motosikal ditunggangnya hilang kawalan sebelum melanggar jengkaut berhampiran Cheras Sentral di Jalan Cheras menghala ke Kajang di Kuala Lumpur, hari ini.

Dalam kejadian 12.50 tengah hari itu, mangsa, Muhammad Idham Mohd Rashidi, 26, disahkan maut di lokasi akibat parah di kepala.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasa Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkefly Yahya berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika mangsa menunggang motosikal Yamaha Y15 dalam perjalanan balik ke rumah selepas menjalani pemeriksaan kesihatan di Hospital Canselor Tuanku Muhriz.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, motosikal ditunggang mangsa di lorong tengah hilang kawalan lalu masuk ke lorong kiri sebelum melanggar bahagian kanan jengkaut.

“Akibat pelanggaran itu, mangsa jatuh di atas jalan dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu jengkaut berusia 46 tahun tidak cedera,” katanya dalam kenyataan di Kuala Lumpur, hari ini.

Zulkefly berkata, mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Canselor Tuanku Muhriz untuk bedah siasat.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 April 2019 @ 9:29 PM