Nurul Hidayah Bahaudin


PENIAGA warga asing melarikan diri sejurus melihat penguat kuasa di Pasar Borong Selayang dalam Operasi Bersepadu Penjaja Warga Asing hari ini.

Dalam operasi Majlis Perbandaran Selayang (MPS) bermula 9 malam, beberapa gerai buah-buahan, sayur-sayuran dan ikan ditutup selain barang jualan turut dirampas selepas didapati tidak memiliki permit.

Bagaimanapun, berlaku kekecohan apabila beberapa individu tampil mendakwa sebagai pemilik gerai dan mempertikaikan tindakan dilakukan pihak berkuasa yang menutup perniagaan mereka.

Timbalan Yang DiPertua MPS Datuk Dr Juhari Ahmad berkata, pemeriksaan dilakukan di deretan gerai berkenaan mendapati ia beroperasi tanpa permit.

“Ketika kami membuat serbuan, beberapa penjaja warga asing bertindak melarikan diri dari gerai dan meninggalkan barang jualan.

“Pada masa sama, beberapa peniaga mencetuskan provokasi dengan mendakwa mereka ada surat kebenaran untuk berniaga di lokasi itu namun pemeriksaan mendapati mereka tiada permit,” katanya selepas mengetuai operasi bersepadu itu.


Penguat kuasa merampas barangan dalam operasi bersepadu di sekitar Pasar Borong Selayang. FOTO Mohd Yusni Ariffin

Juhari berkata, tapak gerai itu dipercayai dijaga penjaja warga asing yang beroperasi secara haram.

“Operasi ini dilakukan bagi mengesan penjaja warga asing yang berniaga di sekitar kawasan pasar borong ini.

“Tindakan sita dan tutup gerai akan dikenakan terhadap individu yang didapati berniaga di lokasi yang tidak diizinkan selain tidak memiliki permit mengikut Undang-Undang Kecil 3 Tred Perniagaan dan Industri (MPS) 2007,” katanya.

Operasi itu disertai lebih 100 anggota dan pegawai penguat kuasa MPS, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 April 2019 @ 1:16 AM