Hamzah Osman


DUA lelaki ditahan selepas terbabit dalam kegiatan menjual nombor ekor di Kampung Padang Lalang di Langkawi, semalam.

Dalam operasi Ops Dadu, 6.30 petang itu, polis turut merampas wang tunai RM310 dan peralatan digunakan dalam kegiatan perjudian ekor haram.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Superintendan Mohd Iqbal Ibrahim berkata, operasi itu disertai sepasukan tujuh anggota Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Langkawi.

“Turut serta dalam serbuan di kedai makan di Kampung Padang Lalang itu ialah sepasukan anggota Penguatkuasa Pejabat Agama Daerah Langkawi (PADL).

DUA lelaki warga tempatan berusia 25 dan 40 tahun yang disyaki terbabit dalam kegiatan menjual nombor ekor haram ditahan polis dalam serbuan di sebuah kedai makan di Kampung Padang Lalang, Langkawi. FOTO Hamzah Osman
DUA lelaki warga tempatan berusia 25 dan 40 tahun yang disyaki terbabit dalam kegiatan menjual nombor ekor haram ditahan polis dalam serbuan di sebuah kedai makan di Kampung Padang Lalang, Langkawi. FOTO Hamzah Osman

“Berikutan itu, dua lelaki berusia 25 dan 40 tahun yang leka menjual nombor ekor ditahan untuk siasatan lanjut,” katanya ketika dihubungi.

Mohd Iqbal berkata, kedua-dua suspek yang tiada rekod jenayah lampau itu kini ditahan dan disiasat mengikut Seksyen 4A(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

“Antara peralatan judi yang dirampas ialah masing-masing dua unit telefon bimbit jenis Nokia dan pencetak mini serta wang tunai berjumlah RM310.

“Seramai 12 lelaki beragama Islam disyaki pembeli nombor ekor haram turut dibawa ke Balai Polis Ayer Hangat untuk proses dokumentasi, sebelum diserahkan kepada PADL untuk tindakan lanjut,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 April 2019 @ 8:37 AM