GAMBAR hiasan
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


SINDIKET perjudian dalam talian tidak sempat mengaut keuntungan apabila premis yang baru beroperasi dua hari di Jalan Petaling di Kuala Lumpur, diserbu polis, semalam.

Serbuan 6.35 petang itu dijalankan oleh sepasukan pegawai dan anggota polis dari Bahagian Anti Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi.

Timbalan Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Superintendan Rudy Abdullah berkata, ketika serbuan, pihaknya menahan 12 individu terdiri daripada 11 lelaki dan seorang wanita tempatan berusia dalam antara 28 hingga 51 tahun.

“Polis turut merampas pelbagai barangan yang digunakan untuk aktiviti perjudian antaranya komputer riba (lima), tablet (enam) dan wang tunai berjumlah RM850.

“Siasatan mendapati premis berkenaan baru dibuka sejak dua hari lalu,” katanya.

Rudy berkata, premis berkenaan turut dilengkapi kamera litar tertutup dan pintu kebal untuk mengelak daripada dikesan pihak berkuasa.

“Pelbagai helah dilakukan sindiket perjudian untuk mengaburi pihak berkuasa.

“Semua tangkapan dan rampasan dibawa ke IPD Dang Wangi untuk proses dokumentasi dan tindakan lanjut,” katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 4B(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 serta 6 (1) akta yang sama.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 April 2019 @ 11:45 AM