ZULKEFLI diiringi anggota polis di Mahkamah Majistret Kota Bharu. FOTO Siti Norhidayatidayu Razali.
Siti Nor Hidayatidayu Razali


SEORANG lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kota Bharu, hari ini atas pertuduhan mengedar dadah, Mac lalu.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh, Zulkefli Mohd Yatim, 57, di hadapan Majistret Kamarul Hasyime Rosli.

Mengikut pertuduhan, tertuduh yang bekerja sendiri didakwa mengedar dadah berbahaya disyaki jenis Methamphetamine dengan anggaran berat 420 kilogram.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di tepi Jalan Dusun Raja, Off Jalan Kebun Sultan, 10.50 malam, pada 21 Mac lalu.

Pertuduhan itu didakwa mengikut Seksyen 39B(1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 39B (2) akta sama yang membawa hukuman mati.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Habibullah Mohammad Shah, manakala tertuduh diwakili peguam, Hajar Sahiras Zukefli.

Mahkamah kemudian menetapkan 30 Mei depan untuk laporan kimia.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 April 2019 @ 3:42 PM