SENAPANG dan dadah, antara barangan dirampas daripada suspek. FOTO Ihsan PPM
SENAPANG dan dadah, antara barangan dirampas daripada suspek. FOTO Ihsan PPM
Mohd Roji Kawi


SERBUAN anggota Pasukan Polis Marin (PPM) terhadap sebuah kereta yang disyaki dinaiki pengedar dadah di Kampung Ipai, di Limbang, membawa kepada penemuan senapang patah buatan sendiri, semalam.

Dalam kejadian kira-kira 7 malam itu, sepasukan enam anggota PPM Limbang sedang membuat rondaan dalam Op Landai di kampung terbabit.

Komander PPM Wilayah 5 Sarawak, Asisten Komisioner Sallehuddin Mat Zaman berkata, hasil maklumat orang awam mengenai kegiatan penyeludupan dadah, pasukan terbabit melakukan intipan dan mengekori sebuah kereta jenis Perodua Viva yang dinaiki tiga lelaki.

Beliau berkata, ketika anggotanya bertindak memeriksa kereta terbabit, dua daripada suspek berjaya melarikan diri ke hutan berhampiran, manakala seorang lagi berjaya ditahan.

“Hasil pemeriksaan di dalam kereta itu menemui satu karung guni yang berisi selaras senapang patah buatan sendiri dan tiga bilah parang.

“Pemeriksaan di dalam sebuah beg kecil yang dibawa suspek pula menemui dua paket ketulan kristal dipercayai dadah jenis syabu berat anggaran 0.62 gram,” katanya.

Sallehuddin berkata, ujian saringan awal yang dijalankan polis terhadap suspek mendapati dia positif dadah jenis methamphetamin.

Beliau berkata, kes itu kini disiasat mengikut Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952; Seksyen 8 Akta Senjata Api 1960 dan Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan dan Senjata Berbahaya 1958.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 April 2019 @ 3:43 PM