PENGERUSI Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak. FOTO Ghazali Kori.
Hanneeyzah Bariah Baharin


DUA puluh lima pusat hemodialisis milik kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan swasta seluruh negeri ini masih tidak cukup untuk menampung keperluan pesakit buah pinggang perlu menjalani rawatan setiap minggu.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak berkata, secara keseluruhan ada 2,006 pesakit buah pinggang di negeri ini.

Beliau berkata, seramai 1,367 pesakit sedang dalam rawatan, 348 dirawat secara ‘Continuous Ambulatory Peritoneal Dialysis’ (CAPD), manakala 291 pesakit lagi berada dalam senarai menunggu kerana kekurangan tempat.

“Jumlah pusat hemodialisis yang kita ada memang tidak cukup untuk menampung keperluan pesakit buah pinggang menjalani rawatan, namun kita mempunyai perancangan untuk meminimakan masalah ini.

“Buat masa ini kita melihat ada ruang untuk menambah 68 mesin hemodialisis di beberapa hospital,” katanya menjawab soalan tambahan Roslee Daud (BN-Bukit Besi) mengenai langkah kerajaan dalam menangani masalah kekurangan pusat hemodialisis.

Alias berkata, kerajaan juga merancang mewujudkan pusat rawatan baharu antaranya di Telaga Mengkudu, Marang yang sudah siap dengan kapasiti 10 mesin hemodialisis dan mampu memberi manfaat kepada 20 pesakit buah pinggang di daerah itu.

“Di Besut kita mempunyai 75 pesakit buah pinggang yang masih menunggu rawatan dan pihak swasta akan membina sebuah pusat hemodialisis bagi kegunaan pesakit di sana,” katanya.

Beliau berkata, kos tinggi untuk membuka pusat hemodialisis dengan harga mesin menelan kos lebih RM30,000 seunit dan sewa bangunan yang mahal menyebabkan kesukaran mewujudkan pusat rawatan baharu.

“Sebagai contoh kita rancang untuk buka pusat hemodialisis di Kuala Berang, namun sewa bangunan saja sudah RM10,000 sebulan.

“Sebab itu kita banyak buat kerjasama contohnya dengan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM), NGO dan swasta,” katanya.

Menurutnya, pesakit buah pinggang yang menjalani rawatan hemodialisis di hospital kerajaan dikenakan caj RM13 bagi setiap sesi, RM200 untuk pusat hemodialisis milik NGO, manakala caj di pusat swasta antara RM250 hingga RM300.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 April 2019 @ 4:22 PM