Hasanuddin (tengah) menunjukkan pelbagai jenis dadah yang dirampas polis. FOTO Syamsi Suhaimi
Hasanuddin (tengah) menunjukkan pelbagai jenis dadah yang dirampas polis. FOTO Syamsi Suhaimi
Siti Nor Hidayatidayu Razali


POLIS Kelantan merampas pelbagai dadah bernilai lebih RM2.6 juta dalam tiga serbuan berasingan di Pasir Mas, Kota Bharu dan Gua Musang.

Serbuan antara 5.30 petang hingga 9.30 malam kelmarin turut menahan tujuh individu termasuk empat wanita berusia antara 17 hingga 51 tahun.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Hasanuddin Hassan berkata, serbuan dilakukan pegawai dan anggota narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Pasir Mas dan Gua Musang merampas dadah termasuk yaba 122,370 biji, 55 gram syabu dan heroin 50.7 gram.

Katanya, serbuan pertama dilakukan di sebuah rumah di Kampung Kubang Jong, Repek, Pasir Mas 5.30 petang menahan lelaki berusia 30 tahun.

“Dalam serbuan itu, kita merampas 6,000 pil yaba atau 675 gram yang dijumpai dalam bungkusan warna hitam.

“Kita juga menemui syabu 55 gram dalam beg kecil coklat,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan (IPK) Kelantan hari ini.

Beliau berkata, hasil serbuan itu, polis menyerbu sebuah lagi rumah di Kampung Kubang Rawa, Kota Bharu dan menahan wanita warga Thailand berusia 31 tahun.

Katanya, polis menemui 112,000 pil yaba bernilai RM1.68 juta yang disimpan dalam peti besi di sebuah bilik.

“Kita percaya dua serbuan ini ada kaitan dan sindiket mengedar dadah untuk pasaran tempatan di Pasir Mas dan Kota Bharu.

“Serbuan ketiga di Kampung Sungai Bayu, Gua Musang 9.30 malam turut menahan lima suspek iaitu empat beranak dan seorang jiran mereka wanita warga Thailand.

“Kita merampas heroin 50.7 gram dan 4,370 pil yaba bernilai RM110,050,” katanya.

Beliau berkata, tiga serbuan itu polis turut menyita Proton Preve, Perodua Kelisa, Perodua Kancil, Motosikal Yamaha Y150, Honda Wave dan Honda EX5.

Katanya, sindiket pengedaran dadah itu bergiat aktif sejak setahun lalu.

“Tujuh suspek direman tujuh hari bermula semalam sehingga Selasa ini untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 April 2019 @ 4:30 PM