KEADAAN lokasi kejadian. FOTO Ihsan Polis
Nurul Fhatihah Zakinan


WANITA warga emas patah tangan selepas kereta dipandunya terbabas dan merempuh pintu pagar rumah jirannya di Taman Permatang Pasir Permai, di Melaka, semalam.

Dalam kejadian kira-kira 7.30 malam itu, Choong Siew Nyoke, 70, yang juga suri rumah memandu kereta Perodua Myvi mengalami patah tangan kanan dan kini dirawat di Hospital Melaka.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, pemandu terbabit melanggar kediaman jirannya yang berpenghuni.

Selain itu, ia menyebabkan dua kenderaan diparkir di garaj kediaman dua tingkat itu mengalami kerosakan iaitu Perodua Myvi warna perak dan Nissan Grand Livina.

“Ia dipercayai berlaku kerana pemandu hilang kawalan sebelum melanggar pintu pagar dan pemisah tembok kediaman. Ketika kejadian, terdapat dua penghuni termasuk seorang pemilik kediaman.

“Bagaimanapun, kedua-duanya tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya ketika dihubungi, , hari ini.

Katanya, kes terbabit disiasat mengikut Seksyen 43(1)A Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 April 2019 @ 4:58 PM