GAMBAR hiasan
Abnor Hamizam Abd Manap


PERBUATAN jijik lelaki mencabul kanak-kanak perempuan berusia empat tahun yang diasuh isterinya terbongkar selepas kanak-kanak itu menceritakan kejadian kepada keluarga.

Ketua Polis Daerah Jelebu, Deputi Superintendan Kamarul Rizal Jenal berkata, lelaki berusia 40-an terbabit dipercayai melakukan perbuatan itu ketika isterinya tiada di rumah di Kuala Klawang.

Beliau berkata, suspek adalah suami kepada pengasuh yang menjaga kanak-kanak perempuan itu.

“Pada 23 Mac lalu, ketika ibu mangsa berusia 36 tahun memakaikan lampin pakai buang kepada mangsa dia terkejut apabila kanak-kanak itu menceritakan ‘papa’ iaitu suami pengasuh memasukkan kemaluan ke dalam mulutnya.

“Wanita itu kemudian memberitahu suami mengenai dakwaan anaknya itu sebelum mereka membawa kanak-kanak terbabit ke klinik untuk pemeriksaan. Doktor mengesahkan ada kesan cabul,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Kamarul Rizal berkata, ibu mangsa kemudian membuat laporan polis 24 Mac lalu.

Bertindak atas laporan itu, beliau berkata, polis menjalankan siasatan dan menahan suspek di rumahnya 10.30 pagi keesokan.

Katanya, suspek direman 14 hari sehingga esok mengikut Seksyen 376 (2) dan Seksyen 377C Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 April 2019 @ 7:16 PM