X
DURIAN jenis kampung dijual dengan harga RM15 sekilogram pada program Jelajah Promosi Jualan Terus Dari Ladang (JTDL) peringkat negeri di Berjaya Megamall. FOTO Mohd Rafi Mamat
DURIAN jenis kampung dijual dengan harga RM15 sekilogram pada program Jelajah Promosi Jualan Terus Dari Ladang (JTDL) peringkat negeri di Berjaya Megamall. FOTO Mohd Rafi Mamat
Mohd Rafi Mamat


LEMBAGA Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Pahang mensasarkan lebih 50 tan pelbagai buah-buahan tempatan dapat dijual dalam tempoh empat hari, bermula semalam melalui program jelajah promosi Jualan Terus Dari Ladang (JTDL) peringkat negeri di Berjaya Megamall, Kuantan.

Penolong Pengarah Kanan (Bahagian Ladanng Kontrak) FAMA, Rashiha Mamat berkata, seramai 15 usahawan tempatan dan luar terbabit pada program kali ini yang memberi peluang kepada pengguna mendapatkan buah segar terus dari ladang pada harga antara lima hingga 20 peratus lebih murah.

Katanya, selain durian jenis kampung, klon dan Musang King keluaran negeri ini, turut dijual ialah tembikai, jagung, nangka, buah naga, mangga, nanas, ubi kayu, jambu, halia Bentong dan limau.

“Semua buah-buahan dijual pada harga yang sangat menarik dan berpatutan, sebagai contoh durian kampung dijual RM15 setiap kilogram (kg); nanas (RM5/kg); tembikai (RM2/kg) dan halia Bentong (RM20/kg).

“Kita (FAMA) berharap pengguna tidak melepaskan peluang untuk datang dan mendapatkan buah-buahan digemari tanpa perlu berbelanja lebih,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Program jelajah promosi JTDL peringkat negeri akan dirasmikan Ketua Pengarah FAMA, Datuk Ahmad Ishak, esok.

Rashiha berkata, program berkenaan turut menawarkan pelbagai hadiah melalui cabutan nombor bertuah bagi pengunjung.

Katanya, aktiviti jualan bermula 10 pagi hingga 10 malam dan pada program itu turut diadakan jualan produk Agromas dan beberapa jenis sayuran segar dan ulaman.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 April 2019 @ 10:13 AM