TERTUDUH (kiri) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Seremban atas dua pertuduhan merogol dan mencabul kanak-kanak perempuan. FOTO Iqmal Haqim Rosman
Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor


LELAKI menahan sebak apabila menghadapi dua pertuduhan mencabul dan merogol kanak-kanak perempuan berusia empat tahun di Mahkamah Sesyen Seremban,hari ini.

Tertuduh, Mohd Zairil Mohd Zin, 46, mengaku tidak bersalah sebaik kertas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Madihah Harullah.

Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa merogol kanak-kanak perempuan berusia empat tahun di rumah di Titi, Jelebu pada bulan lalu.

Tertuduh yang berbaju lokap berwarna ungu didakwa mengikut Seksyen 376 (2) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara sehingga 30 tahun dan sebat, jika disabitkan kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa melakukan persetubuhan bertentangan dengan aturan tabi'i terhadap mangsa di rumah itu di lokasi dan tarikh yang sama.

Dia didakwa mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara sehingga 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Norshazwani Ishak memohon mahkamah mengenakan jaminan tinggi sebelum peguam tertuduh, M Haresh meminta jaminan minimum berikutan hanya tertuduh bekerja dan menanggung empat anak.

Mendengar rayuan kedua-dua pihak, Madihah menawarkan jaminan RM8,000 dan kes akan disebut semula 6 Mei depan.

Sebaik pertuduhan selesai, tertuduh dilihat bergenang air mata dan melambaikan tangan kepada ahli keluarganya yang hadir.

Harian Metro semalam melaporkan perbuatan jijik lelaki mencabul kanak-kanak perempuan empat tahun yang diasuh isterinya terbongkar selepas kanak-kanak itu menceritakan kejadian kepada keluarga.

Ketua Polis Daerah Jelebu, Deputi Superintendan Kamarul Rizal Jenal berkata, lelaki berusia 40-an terbabit dipercayai melakukan perbuatan itu ketika isterinya tiada di rumah di Kuala Klawang pada 23 Mac lalu.

Beliau berkata, suspek adalah suami kepada pengasuh yang menjaga kanak-kanak perempuan berkenaan.

Ibu mangsa membawa anaknya ke klinik dan pemeriksaan doktor mengesahkan ada kesan cabul lalu laporan polis dibuat pada 24 Mac lalu.

Suspek kemudian dicekup polis pada keesokan hari iaitu 25 Mac yang lalu.

Keterangan gambar:

Tertuduh dibawa anggota polis di Mahkamah Sesyen Seremban, hari ini.

Tamat

Berita berkaitan:

  • Suami pengasuh ditahan kes cabul budak
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 April 2019 @ 1:31 PM