GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Hadzlihady Hassan


ANGGOTA tentera maut selepas motosikal ditunggang terbabas dan melanggar pembahagi jalan sebelum mangsa terseret hampir 30 meter dalam kemalangan di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu, di Georgetown, hari ini.

Dalam kemalangan 7.20 pagi itu, Koperal Mohd Hider Abu Hassan, 31, yang berasal dari Muar, Johor meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah di kepala.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Che Zaimani Che Awang berkata, siasatan mendapati mangsa yang menunggang motosikal Yamaha LC 135 dalam perjalanan dari Bayan Lepas menuju pusat bandar.

Menurutnya, saksi yang melihat kejadian memberitahu mangsa ketika itu menunggang di laluan motosikal sebelum dia secara tiba-tiba terbabas ke kiri jalan dan melanggar pembahagi jalan.

“Mangsa terseret hampir 30 meter serta meninggal dunia di lokasi kejadian dan mayatnya dihantar ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk bedah siasat.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih dijalankan,” katanya.

Sementara itu, beberapa rakan setugas mangsa turut dilihat berada di lokasi kejadian bagi sama-sama membantu anggota polis mengusung jenazahnya untuk dibawa ke HPP.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 April 2019 @ 2:24 PM