MOHAMMAD Ashraf. FOTO NSTP
Muhammad Apendy Issahak


UMAT Islam di Perak, hari ini, mendirikan solat hajat selepas solat Jumaat bagi memohon petunjuk dalam operasi mencari dan menyelamat Muhammad Ashraf Hassan, 29, peserta Gopeng Urban Trail 2019, yang hilang sejak 23 Mac lalu.

Di Masjid Sultan Idris Shah II (Masjid Negeri) di Ipoh, hampir 1,000 jemaah menunaikan solat hajat dua rakaat yang dipimpin Imam Muhammad Ali Mohamad Noh.

Difahamkan, solat hajat dalam usaha mencari Muhammad Ashraf itu turut diadakan di seluruh masjid dan surau yang mendirikan solat Jumaat di negeri itu.

Selesai solat, Imam Muhammad Ali kemudian membacakan doa memohon petunjuk dan pertolongan Allah agar memudahkan usaha pencarian Juruteknologi Makmal Perubatan di Klinik Kesihatan Daerah Muar, Johor itu yang lebih mesra dipanggil Acap dalam kalangan keluarga dan rakan.

Imam Muhammad Ali ketika ditemui berkata, dalam doanya, beliau memohon supaya Muhammad Ashraf dikeluarkan dari ghaib dan petunjuk kepada pasukan penyelamat yang mencari mangsa.

“Sehingga kini, pasukan penyelamat yang menjalankan operasi pencarian masih tidak menemui sebarang petunjuk dan kita buat solat hajat meminta Allah memberi petunjuk sehingga Acap ditemui.

“Masjid Negeri juga akan membuat lagi solat hajat jika mangsa masih gagal dijumpai,” katanya.

Hari ini masuk hari ke-14 operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang membabitkan pelbagai pihak termasuk agensi kerajaan, sukarelawan dan pengamal perubatan Islam.

Pencarian dijalankan di sekitar kawasan Bukit Batu Putih, Kampung Pintu Padang, Gua Tempurung, Gua Kandu dan kawasan Hutan Simpan Bukit Kinta.

Berita berkaitan

[UPDATE] Ambil tindakan penyebar kenyataan palsu Acap

[UPDATE] Tiada ganjaran pencarian Acap

[UPDATE] 'Acap...mak kat sini...balik nak' [METROTV]

Tiada petunjuk, SAR Acap dihentikan

Rakan yakin Acap selamat

Peserta hilang ketika larian

'Baliklah Acap, mak masak asam pedas...'

Masih tiada petunjuk

Masih tiada petunjuk pencarian Acap

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 April 2019 @ 4:22 PM