DR Wan Azizah dan Saifuddin Nasution melawat pameran pada FIM2019. FOTO Asyraf Hamzah
DR Wan Azizah dan Saifuddin Nasution melawat pameran pada FIM2019. FOTO Asyraf Hamzah
Amir Abd Hamid


MALAYSIA mampu menjadi platform untuk francais asing membangunkan produk baharu, sekali gus melancarkan perkhidmatan dan produk mereka kepada pasaran baru di rantau Asia Tenggara.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Dr Wan Ismail berkata, negara ini adalah lokasi menarik untuk pelabur berikutan memiliki persekitaran perniagaan mapan dan kerajaan menjalankan polisi mesra serta pro-perniagaan.

Beliau berkata, peningkatan keamanan sejagat dan munculnya pasaran baru boleh meyakinkan francais asing yang Malaysia adalah pilihan terbaik sebagai hab untuk menguruskan pelaburan.

“Pengurusan kerajaan baharu yang berintegriti dan holistik menjana persekitaran yang kondusif sekali gus menyokong pertumbuhan perniagaan, menawarkan kadar faedah rendah dan mengurangkan inflasi.

“Pada masa sama, dasar kerajaan terhadap perniagaan francais juga mengiktiraf keperluan dan pentingnya menyokong pembangunan francaisor tempatan sebagai sebahagian daripada agenda pembangunan keseluruhan untuk membina keupayaan domestik.

“Justeru, saya menyeru Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan agensi berkaitan untuk berganding bahu menjadikan Malaysia sebagai hab francais untuk ASEAN dan rantau Asia Barat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap melancarkan perasmian Pameran dan Persidangan Francais Antarabangsa Malaysia 2019 (FIM2019) di Kuala Lumpur, hari ini.

Hadir sama, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Pengerusi Persatuan Francais Malaysia (MFA) Datuk Radzali Hassan.

Lebih 20 pelabur antarabangsa dari 13 negara berminat membawa jenama francais Malaysia ke negara mereka.

FIM2019 yang berlangsung selama tiga hari bermula semalam dijangka merekodkan potensi pelaburan francais berjumlah RM400 juta.

Antara negara yang menunjukkan minat menerusi program Franchise In-Buying Mission (FIBM) itu adalah United Kingdom (UK), Hungary, Poland, Sweden, Belanda, Kazakhstan, Thailand, Myanmar, Oman, Indonesia, India, Russia dan Vietnam.

FIM2019 adalah pameran francais terbesar di Asia Tenggara anjuran bersama KPDNHEP dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 April 2019 @ 7:09 PM
Kabinet Malaysia 2020