Nor Akmar Samudin


MASALAH pendengaran dihadapi tidak menghalang Nur Jaharah Rasyiqah Jefri Suzi, 12, meneruskan minat membaca sehingga muncul johan Kategori Kurang Upaya Pendengaran pada Anugerah Nilam Kebangsaan 2019.

Jaharah adalah murid Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas Seremban.

Menerusi bantuan guru pusat sumber sekolah itu, Syahidah Hanizah Adni yang berkomunikasi menggunakan bahasa isyarat, Jaharah berkata, dia mula suka membaca ketika berusia 7 tahun terutama buku cerita Bahasa Inggeris.

Untuk melayakkan Jaharah muncul johan kategori terbabit, sepanjang tahun lalu, dia membaca sebanyak 200 buku.

Katanya, bapanya banyak memberikan dorongan kepadanya untuk mencintai ilmu.

“Bapa selalu belikan buku dan saya akan meluangkan masa membaca pada hujung minggu.

“Saya suka baca novel kanak-kanak,” katanya yang ditemui selepas majlis penganugerahan itu di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur, semalam.

Anak sulung daripada tiga beradik itu bercita-cita menjadi seorang guru.

Katanya, adik keduanya pekak dan bisu, manakala adik bongsunya normal.

Sementara itu, murid Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas Sungai Petani, Muhammad Iskandar Mohd Norzamir, 11, johan Kategori Kurang Upaya Penglihatan.

Guru besar sekolah itu, Zuraidah Yusoff membantu kelancaran temu bual media dengan Iskandar yang hanya boleh melihat dengan mata kanan meskipun agak kabur.

Katanya, dia berjaya menghabiskan 130 buku tahun lalu dan minatnya menjurus kepada buku kartun terutama kisah arnab dan kura-kura.

Iskandar pernah pergi ke sekolah biasa sebelum dia dimasukkan ke sekolah pendidikan khas tiga tahun lalu.

“Saya biasanya habis membaca sebuah buku dalam seminggu dan membaca buku cerita perlahan-lahan kerana hanya mata sebelah kanan boleh melihat walaupun kabur.

“Bagaimanapun, ketika belajar di sekolah saya menggunakan buku bersaiz A3 kerana hurufnya lebih besar, ” katanya yang boleh membaca huruf braille.

Dalam pada itu, anak pasangan pensyarah, Ahmad Luqman Mohammad Nor, 17, muncul johan Kategori Bahasa Inggeris (Sekolah Menengah).

Dia yang suka membaca sejak berusia enam tahun sudah membaca lebih 3,000 buku dan amat meminati bidang psikologi.

Katanya, dia berhasrat untuk meneruskan pengajian dalam bidang terbabit sehingga ke peringkat Doktor Falsafah (PhD).

Mereka bertiga menerima hadiah wang tunai RM500, baucar buku bernilai RM100, sijil dan trofi yang disampaikan Pengarah Bahagian Sumber dan Teknologi Kementerian Pendidikan Malaysia, Zaini Yazid.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 April 2019 @ 1:11 AM
NUR Jaharah Rasyiqah (dua dari kiri) ketika ditemu bual media.