GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor


BEBERAPA laluan di daerah Seremban akan ditutup secara berperingkat berikutan perlumbaan basikal Le Tour De Langkawi (LTdL) edisi ke-24 yang bermula hari ini hingga lusa.

Timbalan Ketua Polis Daerah Seremban, Superintendan Mohd Rosli Ishak berkata, penutupan itu membabitkan tiga peringkat kayuhan iaitu dari Kuala Lumpur-Tampin, Senawang-Melaka dan Muar-Putrajaya.

Katanya, beberapa laluan utama juga ditutup penuh bergantung keadaan semasa dengan orang ramai diminta merancang perjalanan.

“Pada 1.15 tengah hari ini, laluan yang ditutup adalah Jalan Pantai, Jalan Tok Dagang, Jalan Seremban-Kuala Pilah, Jalan Bukit Putus Lama dan Jalan Ulu Bendul-Kuala Pilah,” katanya.

Dalam kayuhan dari Senawang ke Melaka, esok, laluan ditutup bermula 8 pagi adalah Jalan Bandar Prima Senawang 2,3 dan 4 serta Jalan Melor 3 dan 8.

“Pada 11.45 pagi pula, penutupan berperingkat adalah Jalan Melor 8, Jalan Persiaran Senawang 1, laluan di Taman Cempaka, Taman Seri Pagi, Taman Matahari Height, Taman Lavender Height, Jalan Seremban-Kuala Pilah dan Jalan Bukit Putus Baru,” katanya.

Bagi peringkat ketiga dari Muar ke Putrajaya pada Isnin, Jalan Linggi-Rantau, Pekan Air Kuning, Jalan Siliau-Rantau dan Jalan Siliau-Lukut akan ditutup berperingkat bermula 1.30 tengah hari.

“Semua pengguna dinasihatkan mengelak menggunakan laluan yang dinyatakan bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 April 2019 @ 10:19 AM