GAMBAR hiasan
Garret Dawum


TAKTIK seorang penagih dadah menyembunyikan syabu di dalam kotak rokok bagi mengaburi mata pihak berkuasa tidak menjadi apabila dia ditahan polis di Jalan Temenggong Jugah, Kapit, Selasa lalu.

Suspek ditahan sepasukan polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kapit 5.45 pagi selepas dilihat di tepi jalan dalam keadaan mencurigakan.

Ketua Polis Daerah Kapit, Deputi Superintendan Freddy Bian berkata, pemeriksaan lanjut menemui empat tiub warna biru mengandungi ketulan kristal disyaki syabu yang dimiliki suspek.

“Dadah seberat 0.44 gram itu disembunyikan di dalam kotak rokok yang diletakkan pada poket seluar dipakainya.

“Suspek ditahan dan dadah dirampas untuk tindakan lanjut. Termasuk kali ini sudah lima kali dia ditahan,” katanya ketika dihubungi.

Freddy berkata, suspek mengaku dadah berkenaan adalah miliknya yang diperoleh daripada rakan penagih tempatan.

“Dadah yang dirampas juga adalah untuk kegunaan sendiri dan dijual kepada penagih lain. Ujian air kencing mendapati suspek positif dadah.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) akta sama,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 April 2019 @ 10:57 AM