ANGGOTA bomba berusaha memadamkan kebakaran di tapak simpanan komponen kenderaan terpakai di Bandar Armada Putra. FOTO Ihsan Bomba.
Iskandar Shah Mohamed


SEBUAH tapak simpanan komponen kenderaan terpakai di Bandar Armada Putra, Pulau Indah, Pelabuhan Klang, musnah dalam kebakaran, pagi tadi.

Kejadian kira-kira 9.30 pagi itu mengakibatkan kawasan penyimpanan besi dan plastik seperti rangka kereta, papan pemuka serta pelbagai komponen lain yang dileraikan hangus sepenuhnya.

Ketua Bomba dan Penyelamat Zon Klang, Samsol Maarif Saibani berkata, pihaknya bergegas ke lokasi sejurus menerima panggilan kecemasan daripada pengawal sebuah kilang berdekatan pada 9.52 pagi.

“Bertindak atas maklumat itu, sepasukan lapan pegawai dan 33 anggota bersama lima jentera dari Balai Bomba Pelabuhan Klang, Sungai Pinang dan Banting dikerahkan memadamkan kebakaran.

“Ketika tiba di lokasi, api sedang marak dan kami mengambil masa 30 minit untuk mengawal kebakaran berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, siasatan mendapati tapak itu tidak mempunyai sebarang bangunan kecuali pondok pengawal di pintu masuk dan dipagar menggunakan zink.

“Tidak ada mangsa dilaporkan setakat ini, kerana tidak ada pekerja bertugas ketika kebakaran berlaku.

Samsol berkata, punca sebenar menyebabkan kebakaran dan nilai kerugian masih dalam siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 April 2019 @ 4:40 PM
Skip this ad x