Projek rumah PR1MA Bandar Ekar yang terbengkalai sejak tahun lalu. FOTO Saifullizan Tamadi
Projek rumah PR1MA Bandar Ekar yang terbengkalai sejak tahun lalu. FOTO Saifullizan Tamadi
Ekhwan Haque Fazlul Haque dan Rizanizam Abdul Hamid


BUKAN saja rumah impian tidak dapat didiami, mereka terpaksa membayar ansuran bank untuk rumah yang tidak siap itu selain menanggung kos menyewa rumah lain.

Semuanya kerana kegagalan kontraktor menyiapkan rumah teres berkenaan sejak dua bulan lalu menyebabkan pembeli kini dibebani hutang bank sekali gus menjejaskan kehidupan seharian.

Itu dilema dihadapi 603 pemilik rumah dari Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) Bandar Ekar, Rembau yang terhenti sejak September lalu atas alasan kontraktor tidak mendapat bayaran untuk meneruskan pembinaan projek berkenaan.

Wakil penduduk, Azezam Shah Zambri, 35, berkata,

projek unit rumah bernilai RM235,000 itu pada awalnya berjalan lancar dan sepatutnya siap 31 Januari lalu.

“Bagaimanapun kami terkejut apabila pembinaannya semakin perlahan sejak Mac tahun lalu dan hanya mengetahui bermasalah September lalu.

“Ketika itu, ada pembeli diminta pihak bank menjelaskan sehingga 50 peratus daripada bayaran bulanan sedangkan rumah masih belum siap.

“Ini sangat membebankan kami kerana pada masa sama perlu membayar kos sewaan rumah lain,” katanya ditemui di tapak projek berkenaan hari ini.

Tinjauan mendapati, ada sebahagian rumah di situ baru mempunyai rangka sekali gus menunjukkan ia tidak dapat disiapkan dalam waktu terdekat.

Pembeli, Kamarul Zaman Awang, 29, berkata, bank sudah memintanya menjelaskan bayaran ansuran bulanan RM370 sejak November lalu dan akan meningkat RM460 bulan ini.

“Bayangkan bebanan saya terpaksa tanggung untuk membayar rumah yang tidak siap dan terpaksa pula menyewa rumah lain pada harga RM400 sebulan.

“Saya harap, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dapat membantu menyelesaikan masalah ini kerana kerajaan sebelum ini hanya memberi jawapan berbaur politik yang tidak membantu membela nasib pembeli.

“Saya difahamkan Menteri KPKT, Zuraida Kamaruddin ke sini hari ini untuk berkempen sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, jadi mungkin beliau boleh segera menyelesaikan masalah ini,” katanya.

Juruteknik, K Thinesh , 31, berkata, dia berhabis RM23,000 untuk membayar 10 peratus wang pendahuluan dan berharap kerajaan dapat membantu masalah dihadapi pembeli.

Sementara itu, Zuraida ketika ditemui berkata, setakat ini beliau belum mendapat sebarang maklumat mengenai projek itu.

“Saya tidak dimaklumkan mengenai masalah projek ini, apakah puncanya tapi seperti diketahui PR1MA sekarang ini kita sedang lakukan audit.

“Kita melihat semula transaksi perniagaannya yang lalu jadi banyak perkara belum lagi kita dapat laporan mengenainya,” katanya ditemui selepas program ceramah umum sempena PRK DUN Rantau di Kuala Sawah, Rantau hari ini.

Zuraida berkata, beliau akan segera menghubungi Pengarah PR1MA selain bersedia bertemu dengan pembeli terjejas untuk mendapatkan maklumat lebih jelas.

“Mungkin (wartawan) boleh aturkan saya untuk bertemu wakil pembeli rumah, tolong beri pada saya dan saya akan telefon Pengarah PR1MA malam ini.

“Esok saya akan buat sidang media, saya akan panggil mereka (wakil PR1MA) sekali saya nak tahu apa isunya. Saya perlukan angka dan apa statusnya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 April 2019 @ 5:41 PM