FOTO Hiasan
Mohd Hafizee Mohd Arop


JABATAN Imigresen Malaysia (JIM) Perak terpaksa memecahkan pintu besi untuk memasuki sebuah pusat karaoke di Bandar Baru Medan Ipoh, Ipoh yang dipercayai menawarkan khidmat wanita pelayan pelanggan (GRO) warga asing.

Pengarah JIM Perak, Kamalludin Ismail berkata, pihaknya berjaya memecahkan pintu besi berkenaan dan memasuki pusat itu sebelum mendapati beberapa wanita disyaki GRO asyik melayan pelanggan.

Katanya, semua GRO berkenaan yang menyedari kehadiran pihak berkuasa kemudiannya cuba melarikan diri dan bersembunyi di bilik rahsia bercermin di dalam pusat karaoke itu namun tidak berjaya.

Menurutnya, pusat karaoke berkenaan adalah satu daripada tiga lokasi pihaknya menjalankan operasi bermula 10.30 malam tadi hingga awal pagi hari ini dan 34 individu termasuk GRO ditahan dalam operasi itu.

“JIM menjalankan serbuan di dua lokasi lain selain pusat karaoke itu iaitu di kafe dalam ladang kelapa sawit di Jalan Besar Kampung Chui Chak, Langkap, Teluk Intan dan restoran makanan Thai di Jalan Kampar-Kuala Dipang, Kampar.

“Dalam operasi itu, 104 individu diperiksa dan daripada jumlah itu 34 individu membabitkan 13 wanita warga China, sembilan wanita serta satu lelaki Vietnam, dua wanita serta enam lelaki Thailand dan tiga warga tempatan ditahan.

“Mereka yang ditahan berusia 20 tahun hingga 46 tahun dan wanita yang ditahan di pusat karaoke itu disyaki bekerja sebagai GRO,” katanya hari ini.

Kamaluddin berkata, siasatan awal mendapati mereka yang ditahan melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 iaitu tidak memiliki dokumen perjalanan sah, salah guna pas, tinggal lebih masa serta memiliki cop palsu di dalam pasport.

Katanya, mereka ditahan mengikut Seksyen 51(5)(b) Akta Imigresen 1959/63 untuk siasatan dan akan diserahkan ke Depot Imigresen Langkap untuk proses seterusnya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 April 2019 @ 6:40 PM