LELAKI warga Singapura maut selepas motosikal ditungganginya melanggar belakang lori rosak. FOTO Ihsan Polis
Mohd Sabran Md Sani
sab@hmetro.com.my


LELAKI warga Singapura maut selepas motosikal ditungganginya melanggar belakang lori rosak di Kilometer 7.7, Jalan Johor Bahru-Kota Tinggi, Johor Bahru, hari ini.

Dalam kejadian 1.50 petang itu, mangsa berusia 50 tahun terbabit meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah pada kepala.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan (JBS), Asisten Komisioner Shahurinain Jais berkata, Pusat Kawalan Daerah Johor Bahru menerima panggilan kecemasan mengenai kemalangan itu, kira-kira 2 petang.

Menurutnya, ketika kejadian, mangsa yang menunggang motosikal Yamaha YBR 125 dalam perjalanan dari arah Kota Tinggi menghala ke Johor Bahru.

“Motosikal ditunggangi mangsa dipercayai hilang kawalan dan melanggar belakang lori rosak yang diparkir di lorong kiri pada laluan tiga lorong.

“Siasatan mendapati lori satu tan itu rosak pada tayar belakang sebelah kiri dan sudah meletakkan tanda (papan segi tiga) kecemasan di lorong kiri,” katanya dalam kenyataannya, hari ini.

Shahurinain berkata, kegagalan mangsa mengawal motosikal dipercayai menjadi punca kemalangan itu.

Katanya, bedah siasat dilakukan di Hospital Sultanah Aminah (HSA) 9 pagi esok.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

“Orang ramai yang menyaksikan kejadian diminta tampil bagi membantu siasatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 April 2019 @ 7:41 PM