Mohd Sabran Md Sani


SERAMAI 1,774 orang ditahan membabitkan rampasan dadah 57.87 kilogram bernilai RM5.075 juta dari awal Januari hingga 31 Mac lalu.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan (JBS), Asisten Komisioner Shahurinain Jais berkata, tangkapan dan rampasan itu hasil serbuan

Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan (JBS).

“Sebanyak 1,657 kes dadah dicatatkan di daerah ini sepanjang tiga bulan pertama tahun ini dengan tangkapan 1,774 individu atas pelbagai kesalahan dadah.

“Daripada jumlah itu, kes disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 mencatat tangkapan tertinggi seramai 1,258 orang diikuti Seksyen 12(3) akta sama (307 orang),” katanya.

Menurutnya, sepanjang Januari lalu, syabu mencatatkan rampasan tertinggi 26,048 gram diikuti heroin 17,737 gram dan daun ketum, 8,237 gram.

Katanya, 298 individu diperiksa menerusi Ops Pemutihan di sekitar bandar raya dan 203 individu ditahan atas pelbagai kesalahan.

“Ops Pemutihan di Larkin menahan 69 individu membabitkan pelbagai kesalahan dadah hasil pemeriksaan ke atas 131 individu dari pelbagai kaum.

“Ops pemutihan di kawasan Dato’ Onn pula menahan 10 individu terbabit dalam aktiviti penyalahgunaan dadah,” katanya.

Menurutnya, menerusi Ops Sarang pihaknya merobohkan khemah dan tempat tinggal penagih, membakar khemah dan pembersihan lokasi penagih dadah melepaskan gian di kawasan pentadbiran IPD JBS.

“Hasil serbuan Ops Sarang di sekitar Kampung Ubi dan Permas anggota dan pegawai BSJN memeriksa 27 individu dengan tiga daripadanya wanita,” katanya.

Dalam Ops Hotel Bajet pula, pihaknya memeriksa 167 individu sebelum menahan 27 individu atas pelbagai kesalahan dadah.

“Ops Hibur di pusat hiburan mencatatkan 147 tangkapan atas pelbagai kesalahan,” katanya.

Katanya, BSJN JBS aktif membuat pertuduhan mengikut Seksyen 39C bagi penagih dadah berulang seperti diarahkan JSJN Bukit Aman.

Antara kejayaan lain sepanjang tempoh itu adalah empat kes tangkapan dan rampasan dadah luar biasa yang berjaya dilakukan.

“Kes pertama pada 16 Januari lalu apabila BSJN melakukan serbuan di sekitar bandar raya ini dan menahan wanita Vietnam bersama 40 botol plastik minuman 500 ml mengandungi cecair dadah 23,080 gram bernilai RM12,000.

“Serbuan kedua 29 Januari lalu, kami berjaya menahan empat lelaki tempatan membabitkan rampasan heroin dan syabu bernilai RM20,460,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 April 2019 @ 8:08 PM
Kabinet Malaysia 2020