LAPORAN portal Harian Metro mengenai aduan penduduk yang mendakwa ada invidu tidak bertanggungjawab melakukan perbuatan syirik ketika operasi SAR Mohammad Ashraf.
Farah Suhaidah Othman


POLIS tidak menerima laporan berhubung sebarang aktiviti ritual dan amalan pemujaan melampau dalam usaha mencari Mohammad Ashraf Hassan yang hilang sejak 23 Mac lalu ketika menyertai larian lasak, Gopeng Ultra Trail (GUT) di Ipoh.

Ketua Polis Perak, Datuk Razarudin Husain berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) ketika ini dilakukan pada skala kecil kerana dikhuatiri isu lain timbul jika pencarian itu dijalankan tanpa pengetahuan pihak polis.

“Semalam, pihak Masjid Sultan Idris Shah II mengadakan solat hajat yang disertai kira-kira 1,000 jemaah sebagai satu cara untuk mendoakan peserta yang hilang itu ditemui.

“Setakat ini, polis tidak menerima laporan sebarang amalan ritual yang melampau, semuanya usaha (SAR) normal, termasuk usaha emak dia (Mohammad Ashraf) sama-sama menunaikan sembahyang sunat bagi mendoakan operasi mencari dipermudahkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika melancarkan pelepasan konvoi Program Kembara Kapcai sempena Hari Polis ke-212 di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh, hari ini.

Operasi SAR kehilangan juruteknologi makmal Klinik Kesihatan Daerah Muar, Johor yang sudah memasuki hari ke-15 hari ini masih diketuai pasukan Polis Diraja Malaysia dibantu Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak dan Agensi Pertahanan Awam Malaysia (APM).

Razarudin berkata, sebarang usaha SAR secara persendirian perlu mendapatkan khidmat nasihat pihak polis.

“Kita tidak mahu orang mencari (Mohammad Ashraf) pula hilang dan menjadi isu lain. Kita tidak mahu pihak tidak bertanggungjawab kononnya berusaha mencari tetapi memuat naik status viral di laman sosial.

“Ketua Polis Daerah (Kampar) sudah menasihatkan supaya pencarian itu perlu diketuai polis dan bomba jadi aturan operasi SAR akan dilaksanakan pasukan penyelamat yang terbabit,” katanya.

Berita berkaitan

[UPDATE] Tumpu di kawasan Gua Tempurung

Penganjur nafi hebah ops cari Acap [METROTV]

Semoga Acap cepat ditemui

Ambil tindakan penyebar kenyataan palsu Acap

Tiada ganjaran pencarian Acap

'Acap...mak kat sini...balik nak' [METROTV]

Tiada petunjuk, SAR Acap dihentikan

Rakan yakin Acap selamat

Peserta hilang ketika larian

'Baliklah Acap, mak masak asam pedas...'

Masih tiada petunjuk pencarian Acap

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 April 2019 @ 8:25 PM