AMBULANS yang dalam perjalanan ke HTAA Kuantan terbalik di persimpangan lampu isyarat Kolej Widad, dirempuh sebuah SUV. FOTO Ihsan Pembaca
Raja Norain Hidayah Raja Abdul Aziz

SUDAH jatuh ditimpa tangga, itu berlaku pada seorang wanita yang bukan saja terpaksa menahan sakit akibat kemalangan, malah ambulans membawanya ke hospital pula terbabit dalam satu lagi kemalangan.

Ambulans yang dalam perjalanan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan itu terbalik di persimpangan lampu isyarat Kolej Widad, petang hari ini.

Dalam kejadian 2.15 petang itu, difahamkan mangsa, Noor Syarita Abdul Razak, 38, sebelum itu terbabit dalam kemalangan di Jalan Sungai Lembing sebelum dibawa menaiki ambulans ke HTAA untuk rawatan lanjut.

Malangnya, sebaik tiba di tempat kejadian, sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) Honda HRV dari arah Terminal Sentral Kuantan dan menghala ke Indera Mahkota 14 merempuh ambulans berkenaan.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Pahang, Superintendan Kamarulzaman Jusoh berkata, SUV dipandu seorang wanita bersama anaknya itu membelok ke kanan dan melanggar ambulans yang datang dari arah Kampung Padang.

Katanya, perlanggaran itu menyebabkan ambulans berkenaan terbalik, manakala SUV itu remuk di bahagian hadapan.

“Mangsa dalam ambulans itu dikeluarkan orang ramai di tempat kejadian.

“Kejadian itu menyebabkan Noor Syarita terpaksa dibawa menaiki satu lagi ambulans yang tiba kira-kira 10 minit kemudian untuk dikejarkan ke HTAA,” katanya kepada wartawan Harian Metro, hari ini.

Difahamkan pemandu ambulans dan pembantu perubatan mengalami cedera ringan.

Pemandu SUV berusia 29 tahun cedera pada dada, paha kiri dan kanan, manakala anaknya yang berusia 20 bulan, luka di leher dan kepala.

Kamarulzaman berkata, siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Polis meminta saksi yang melihat kemalangan itu supaya tampil untuk memberi maklumat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 April 2019 @ 11:37 PM