KHALID
Fairul Asmaini Mohd Pilus


KUALA LUMPUR: “Jangan jual atau menyewakan tapak bazar Ramadan yang diperoleh kepada pihak ketiga kerana Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tidak teragak-agak mengambil tindakan tegas termasuk menarik balik tapak berkenaan tanpa kompromi,” demikian amaran Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad kepada mana-mana pihak yang cuba mengaut keuntungan berganda menjual tapak bazar Ramadan Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR).

Menurut Khalid, semua pemohon yang berjaya dalam permohonan tapak bazar terbabit sudah dimaklumkan mengenai syarat berkenaan dan pihaknya berharap ia akan dipatuhi.

Beliau berkata, meskipun setakat ini tiada aduan rasmi berhubung isu penjualan tapak bazar Ramadan terbabit oleh ‘ulat’ atau ejen persendirian, namun pihak DBKL sentiasa memantau perkara berkenaan.

“Tapak bazar Ramadan disewakan oleh DBKL, jadi bayaran berkaitan perlu dilunaskan kepada pihak terbabit bukan individu atau ejen persendirian.

“Semua pemohon juga sudah dimaklumkan mengenai perkara itu dan jika didapati ada yang menjual atau menyewa tapak kepada ejen atau pihak ketiga, kita tidak teragak-agak mengambil tindakan tegas menarik balik tapak yang diberikan.

“Selain itu, lesen peniaga yang melanggar peraturan juga kemungkinan besar ditarik semula,” katanya.

Beliau mengulas laporan Harian Metro semalam, mengenai dakwaan ejen sudah mula menggerakkan operasi mereka untuk menjual tapak bazar pada harga tertentu berikutan permintaan yang tinggi.

Mereka dikatakan mengambil kesempatan di atas isu terbabit dan mula aktif ‘berniaga’ dengan membuat tawaran kepada pemohon lain biarpun pihak berwajib sebelum ini komited untuk menyelesaikan isu orang tengah.

Isu terbabit turut mendapat perhatian banyak pihak termasuk aktivis masyarakat yang mahu kerajaan menyelesaikannya segera demi melindungi peniaga.

Mengulas lanjut, Khalid berharap penjualan tapak oleh ejen itu tidak berlaku seperti mana yang didakwa memandangkan permohonan tapak Bazar Ramadan Jalan TAR melalui proses yang teliti.

Kata beliau, tapak yang disewakan oleh DBKL itu membolehkan peniaga mencari rezeki pada Ramadan nanti dan ia tidak sepatutnya diniagakan oleh pihak tidak bertanggungjawab.

“Bukan senang untuk dapatkan tapak bazar berkenaan dan bagi pemohon yang berjaya (mendapatkannya), kita harap mereka jujur dan tidak menjualkannya kepada pihak ketiga,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 April 2019 @ 6:30 AM