GAMBAR hiasan
Noor Hidayah Tanzizi

PENUNTUT lelaki Universiti Kuala Lumpur Malaysian Institute of Marine Engineering Technology (UniKL MIMET) Lumut dikhuatiri lemas selepas dipercayai mandi di muara Sungai Dinding, Sitiawan , semalam.

Mangsa, Muhammad Zaffan Baharuldin, 27, dipercayai sedang mandi dan berenang di sungai itu dan kejadian difahamkan berlaku di dalam kawasan kampus berkenaan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sitiawan, Mohd Zaki Zainol berkata, pihaknya menerima panggilan pada 7 malam sebelum sepasukan anggota digerakkan ke lokasi.

“Mangsa masih belum ditemui dan Bomba menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) secara pencarian di permukaan air.

“Operasi membabitkan dua bot sejak malam tadi di kawasan mangsa dikatakan tenggelam,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, SAR pagi ini turut membabitkan anggota Pasukan Penyelamatan Di Air (PPDA) Pulau Pangkor yang akan membuat selaman di lokasi kejadian.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 April 2019 @ 9:21 AM