ANTARA peserta menangkap ikan air tawar di Kampung Berangan Pondok. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Siti Rohana Idris

LEBIH 100 penduduk di Kampung Berangan Pondok, Tumpat bermandi lumpur apabila masing-masing berebut menangkap ikan di tiga kolam, semalam.

Suasana itu ibarat pesta kerana bukan sahaja golongan dewasa tapi turut disertai kanak-kanak yang sebahagian besarnya hanya kelihatan biji mata sahaja disebabkan badan dipenuhi selut.

Seawal 7 pagi lagi penduduk sudah tercegat di tepi kolam menunggu air dipam dengan menggunakan enjin.

Sebaik acara bermula, masing-masing mula ‘terjun’ dan meraba di permukaan dan dasar kolam yang berselut bagi mencari ikan yang bersembunyi.

Separuh daripada ikan yang ditangkap dibahagikan sama rata kepada penduduk kampung manakala selebihnya dijual pemilik kolam di pasar berdekatan.

Pemilik kolam,Mohd Fakrudin Mat Ail, 32,berkata, aktiviti menangkap ikan air tawar itu diadakan bagi membersihkan tiga kolam ikan terbiar yang dipenuhi dengan pelbagai jenis ikan.

Katanya, program bermula seawal 9.30 pagi mendapat sambutan menggalakkan.

“Setiap kali banjir memang ikan dari luar iaitu yang dibawa arus banjir akan masuk ke dalam kolam dan terperangkap.

“Jadi saya merasakan semua kolam itu sudah tidak dapat menampung ikan yang semakin membiak maka saya adakan aktiviti menangkap ikan untuk membersihkan semua kolam berkenaan.

“Ada pelbagai jenis ikan air tawar dalam kolam ini antaranya haruan, keli, puyu dan sepat,” katanya ketika ditemui di Tumpat, semalam.

Seorang penduduk, Mohd Razman Mohd Noor, 44, berkata, acara itu boleh dianggap seperti serampang dua mata kerana selain untuk membersihkan kolam ikan terbiar, ia juga dapat mengeratkan silaturahim antara penduduk.

“Sejak beberapa hari sebelum aktivit ini berlangsung lagi sudah ramai teruja untuk memeriahkan acara itu.

“Keadaan semakin mengujakan apabila banyak ikan yang dapat ditangkap sehingga ada yang mencecah tiga kilogram,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 April 2019 @ 9:37 AM