ANTARA penagih yang ditahan dalam Ops Sarang di Kampung Labou. FOTO ihsan Polis
Norasikin Daineh
norasikin_daineh@nstp.com.my


TUJUH penagih dadah dicekup polis dalam Ops Sarang di Kampung Labou, Manggatal, dekat Kota Kinabalu, kelmarin.

Dalam operasi bermula 12 tengah hari itu, tujuh lelaki berusia 19 hingga 45 tahun ditahan atas kesalahan membabitkan penyalahgunaan dadah di kawasan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, operasi itu dilakukan oleh sepasukan polis daripada Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Kinabalu sendiri.

“Hasil pemeriksaan berjaya menahan tujuh lelaki termasuk seorang daripadanya memiliki dadah syabu sebanyak 0.45 gram yang bernilai RM65.

“Lelaki terbabit disiasat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan selebihnya disiasat mengikut Seksyen 15(1)(A) akta yang sama,” katanya dalam kenyataan media di Kota Kinabalu, semalam.

Katanya lagi, dalam operasi itu pihaknya turut berjaya menahan seorang lagi lelaki didapati tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah dan ditahan mengikut Seksyen (6)(1) Akta Imigresen 1959/63.

Terdahulu, Habibi berkata, Ops Sarang itu dilancarkan berdasarkan maklumat risikan dan awam terhadap sarang penagihan bagi memastikan kegiatan penyalahgunaan dan pengedaran dadah dapat dibendung.

“Selain itu Ops Sarang ini juga dijalankan untuk mengenal pasti dan mengambil tindakan terhadap ahli sindiket pengedaran dadah yang wujud di sarang penagihan itu,”katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 April 2019 @ 9:47 AM