FOTO Hiasan
Siti A’isyah Sukaimi


KEMENTERIAN Kesihatan merekodkan, sebanyak 38,080 kes denggi di seluruh negara bagi tempoh 30 Disember lalu hingga 6 April, dengan Selangor mencatatkan kes tertinggi berbanding negeri lain.

Berdasarkan statistik dikeluarkan Bilik Gerakan Denggi Kebangsaan (CPRC), Kementerian Kesihatan, negeri berkenaan merekodkan jumlah sebanyak 22,343 kes denggi sepanjang tempoh itu.

Ia diikuti Kuala Lumpur dengan 3,084 kes seterusnya, Johor iaitu 3,051 kes, Pulau Pinang (2,173 kes), Sabah (1,717 kes), Kelantan (1,164 kes) dan Perak (1,023 kes).

Turut dipaparkan ialah jumlah kes kematian membabitkan 59 orang iaitu bagi tempoh bermula 1 Januari hingga 29 Mac lalu.

Maklumat mengenai data berkenaan dimuat naik menerusi laman rasmi http://idengue.remotesensing.gov.my.

Pada 2 April lalu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dilaporkan berkata, nyamuk yang disuntik bakteria Wolbachia akan dilepaskan di 10 lokaliti yang dikenal pasti pada Julai depan bagi mengatasi peningkatan wabak denggi di kawasan berkenaan.

Beliau dipetik berkata, pelepasan nyamuk itu dijangka mampu menurunkan kes denggi di kawasan yang terbabit antara 60 hingga 70 peratus, sekali gus mampu mengurangkan kadar kematian akibat denggi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 April 2019 @ 1:09 PM